SHAH ALAM, 15 MEI: Seorang pemandu lori simen berdepan detik cemas apabila tersepit selepas kenderaan dipandunya merempuh Plaza Tol Bukit Kajang di Lebuhraya Kajang SILK, tengah hari tadi.
Menurut Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kemalangan itu pada jam 1.06 tengah hari.
Susulan kejadian, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kajang segera dikerahkan ke lokasi dan tiba kira-kira sembilan minit kemudian.

Komander operasi PBK II Mohd Ramdan Mohd Razlan berkata kemalangan melibatkan sebuah lori simen yang merempuh plaza tol berkenaan.
“Mangsa seorang lelaki Melayu berusia 36 tahun didapati tersepit di bahagian pemandu dan kerja-kerja mengeluarkan mangsa sedang dijalankan,” katanya dalam kenyataan.
Operasi menyelamat melibatkan enam anggota bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT).




