SHAH ALAM, 15 MEI: Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis) akan memperluaskan kapasiti Pusat Dialisis Sri Andalas bagi menampung permintaan tinggi daripada pesakit.
Yang Dipertuanya Datin Seri Masdiana Muhamad berkata, pusat dialisis berkenaan kini menempatkan kira-kira 53 pesakit tetap dengan 10 mesin dialisis dan keadaan semasa sudah padat.
"Permintaan untuk membesarkan pusat dialisis memang ada kerana sekarang ini keadaannya sudah padat.
"Kalau ada peruntukan dan kemampuan lebih nanti, memang kami mahu beri manfaat lebih besar kepada rakyat melalui pusat dialisis ini," katanya.
Beliau berkata demikian kepada Media Selangor selepas Mesyuarat Agung Tahunan Pekawanis kali ke-18, di Klang, baru-baru ini.
Masdiana berkata, pusat dialisis berkenaan kini diuruskan sepenuhnya di bawah Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI selepas Pekawanis memenangi kes pengambilalihan di mahkamah tahun lalu.
Katanya, mahkamah memutuskan pusat dialisis itu milik Pekawanis selepas berlaku isu pecah amanah membabitkan individu yang mendakwa pusat berkenaan milik mereka.
"Tujuan pusat dialisis ini diwujudkan memang untuk rakyat dan hasil daripada pusat ini juga perlu disalurkan semula kepada rakyat.
"Sebab itu selepas Pekawanis menang kes mengambil alih pusat dialisis ini, kita serahkan pengurusannya sepenuhnya di bawah MBI supaya ia dapat diurus dengan lebih baik," ujarnya.
Beliau berkata, langkah penstrukturan semula itu penting bagi memastikan operasi pusat dialisis berjalan lancar.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata Pekawanis akan meneruskan program kebajikan kepada ibu tunggal, wanita asnaf serta program ziarah prihatin di seluruh Selangor walaupun berdepan cabaran ekonomi.
"Kita akan teruskan program sumbangan seperti biasa kerana itu memang fokus utama Perkawanis sejak dahulu.
"Program ziarah prihatin dan bantuan kepada golongan memerlukan juga akan diteruskan supaya lebih ramai rakyat dapat dibantu," tambah beliau.
Masdiana turut berharap barisan Ahli Jawatankuasa (AJK) baharu Pekawanis yang dilantik bagi tempoh dua tahun akan datang dapat memainkan peranan aktif dalam memperkukuh gerak kerja kebajikan pertubuhan itu.
"Saya harap AJK yang dilantik dapat memberikan komitmen sepenuhnya bersama-sama barisan baharu ini untuk terus turun padang dan berkhidmat kepada rakyat.
"Walaupun tahun ini mencabar, saya yakin semua AJK dan ahli Pekawanis akan terus komited menjalankan tanggungjawab membantu masyarakat," katanya.








