SHAH ALAM, 15 MEI: Papan pemuka pemantauan krisis bekalan global boleh diakses orang ramai mulai hari ini sebagai platform rujukan berpusat untuk memantau perkembangan ekonomi semasa dan rantaian bekalan global.
Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata platform digital yang dibangunkan bersama Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) itu menyediakan pelbagai data penting menerusi 10 submenu utama.
“Antaranya papan pemuka itu akan memaparkan maklumat berkaitan isu tenaga, komoditi, kos sara hidup, prestasi ekonomi dan aliran perdagangan.
“Ia bertujuan menjadi sumber rujukan berpusat yang telus dan mudah diakses oleh orang awam dalam memantau perkembangan semasa berkaitan krisis bekalan global,” katanya pada sidang media Krisis Bekalan Global di Kuala Lumpur, hari ini seperti dilapor BH.
Beliau berkata kerajaan pada masa sama turut membangunkan paparan khas dalaman bagi membantu agensi berkaitan memantau perkembangan semasa serta menilai risiko yang boleh memberi kesan kepada ekonomi negara.
Menurutnya, sistem berkenaan dibangunkan berasaskan data hampir masa nyata bagi membolehkan tindakan lebih pantas dan tersusun dilaksanakan termasuk dalam aspek penyelarasan antara kementerian dan agensi.
“Ini menjadi peralihan penting dalam cara kita menguruskan krisis. Dengan penggunaan data yang hampir masa nyata, kerajaan dapat mengesan tekanan awal, menyelaras tindakan antara agensi dan pada masa sama memberi maklumat lebih jelas kepada rakyat.
“Pendekatan baharu itu juga penting bagi memastikan kerajaan lebih bersedia menghadapi ketidaktentuan ekonomi global termasuk gangguan rantaian bekalan, turun naik harga komoditi serta tekanan kos sara hidup,” katanya.








