KUALA LUMPUR, 15 MEI: Pertubuhan masyarakat sivil, kemanusiaan dan advokasi Palestin dan Malaysia menggesa masyarakat antarabangsa mengambil tindakan lebih tegas terhadap pelanggaran berterusan Israel ke atas rakyat Palestin sempena ulang tahun Nakba Palestin.
Dalam satu kenyataan bersama pada Jumaat, pertubuhan termasuk Palestinian Cultural Organisation (PCOM) dan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) berkata Nakba bukan sekadar peristiwa sejarah, sebaliknya realiti berterusan yang dialami rakyat Palestin sejak beberapa dekad lalu.
“Bagi rakyat Palestin, Nakba bukan sejarah untuk dikenang semata-mata, tetapi kehidupan yang masih dilalui dengan segala kehilangan, penindasan dan kerinduan,” menurut kenyataan itu.
Pertubuhan-pertubuhan terbabit berkata usaha mengusir rakyat Palestin dari tanah air mereka telah berterusan sejak 1948 dan mendakwa walaupun kaedah berubah mengikut masa, “mentaliti itu tetap sama”.
Kenyataan itu memaklumkan bahawa pada satu ketika, lebih 530 kampung dan pekan Palestin dimusnahkan semasa pendudukan Israel, selain penduduk dihalau melalui kekerasan dan ancaman.
Tindakan itu kini berubah bentuk kepada kepungan, kebuluran, pengeboman, pembinaan penempatan haram, pemusnahan kediaman, perpindahan paksa dan perubahan ciri dan identiti tanah Palestin.
Kenyataan itu turut mengaitkan situasi semasa di Gaza dengan sejarah pengusiran rakyat Palestin, dengan menyifatkan konflik di wilayah itu sebagai kesinambungan tragedi yang bermula sejak rakyat Palestin dipaksa meninggalkan tanah air mereka.
“Gaza, yang suatu ketika dahulu menjadi tempat perlindungan bagi puluhan ribu penduduk yang diusir dari bandar dan kampung mereka, kini bertukar menjadi tempat di mana penduduk diburu walaupun di dalam khemah, dinafikan makanan, malah harapan untuk terus hidup ke hari berikutnya,” menurut kenyataan itu.
Pertubuhan berkenaan turut membangkitkan kebimbangan terhadap perkembangan di Tebing Barat dan Baitulmuqaddis, termasuk rampasan tanah, aktiviti penempatan haram dan usaha mengubah identiti bandar suci itu.
Mereka menggesa pertubuhan hak asasi manusia dan media antarabangsa mendedahkan penderitaan rakyat Palestin di Gaza, Tebing Barat dan Baitulmuqaddis, selain tidak melihat nasib mereka sekadar angka statistik atau peristiwa sementara.
Kumpulan itu turut menggesa penghentian peluasan penempatan haram serta perlindungan terhadap Baitulmuqaddis dan tempat suci Islam serta Kristian, di samping menegaskan sokongan terhadap hak rakyat Palestin untuk kebebasan, maruah dan kembali ke tanah air mereka.










