SHAH ALAM, 15 MEI: Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) mengesan peningkatan kekeruhan di Sungai Sub, anak sungai kepada Sungai Langat di kawasan Taman Sri Nanding, Hulu Langat, petang semalam.
LUAS dalam kenyataan memaklumkan insiden itu dikesan sekitar jam 3.40 petang dan berpotensi memberi impak kepada operasi Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Langat yang terletak di hilir sungai berkenaan.
Menurutnya, hasil semakan segera di lapangan mendapati kekeruhan tinggi itu dipercayai berpunca daripada aktiviti pencucian pasir yang dijalankan sebuah premis di kawasan terbabit.
“LUAS telah mengeluarkan arahan di bawah Seksyen 121(1), Enakmen LUAS 1999 kepada premis berkenaan supaya menghentikan operasi serta-merta serta melaksanakan kawalan pelepasan di premis.
“Pensampelan turut dijalankan di lokasi terlibat termasuk aliran Sungai Sub sebelum dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia (JKM) bagi analisis lanjut untuk tindakan penguatkuasaan,” menurut kenyataan di Facebook.
Tindakan turut diambil terhadap premis berkenaan susulan ketidakpatuhan syarat berdaftar di bawah Peraturan-Peraturan Pelesenan Pembuangan Air Kembalian dan Kemasukan atau Pelepasan Bahan Buangan dan Bahan Pencemar (Negeri Selangor) 2024 atau Dasar Pelepasan Sifar (ZDP).
Bagaimanapun, setakat ini tiada henti tugas dilaporkan membabitkan operasi LRA Sungai Langat dan keadaan semasa sungai didapati masih terkawal hasil pemantauan berterusan pihak LUAS.
LUAS turut memaklumkan pihaknya sentiasa bersiap siaga termasuk melaksanakan pemantauan statik serta rondaan 24 jam di kawasan sensitif bagi memastikan tindakan mitigasi segera dapat diambil sekiranya berlaku sebarang kemungkinan.













