Bayi tertukar di HTA selamat diserah semula kepada ibu masing-masing

15 Mei 2026, 12:19 AM
Bayi tertukar di HTA selamat diserah semula kepada ibu masing-masing

KUALA LUMPUR, 15 MEI: Insiden pertukaran bayi secara tidak sengaja di sebuah wad di Hospital Tunku Azizah (HTA) di sini telah diselesaikan dan bayi berkenaan telah diserahkan semula kepada ibu masing-masing dalam keadaan selamat.

Pengarah HTA Dr Shamsul Anuar Kamarudin dalam kenyataan hari ini berkata tindakan pembetulan segera telah diambil sebaik sahaja perkara tersebut disedari.

Beliau berkata pihak hospital juga telah memberikan penerangan serta sokongan yang sewajarnya kepada ahli keluarga yang terlibat dan hasil semakan awal mendapati tiada sebarang prosedur penyusuan atau rawatan yang menjejaskan keselamatan bayi berlaku sepanjang tempoh kejadian berkenaan.

“HTA memahami kebimbangan dan perhatian orang ramai susulan penyebaran perkara ini di media sosial.

“Sehubungan dengan itu, pihak hospital telah mengambil tindakan segera mengikut prosedur yang ditetapkan serta memastikan aspek keselamatan dan kebajikan bayi-bayi yang terlibat sentiasa diberi keutamaan,” katanya.

Shamsul Anuar berkata HTA memandang serius perkara itu dan satu siasatan dalaman sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian serta menambah baik prosedur kerja sedia ada bagi mengelakkan insiden seumpama berulang.

“Pihak hospital juga akan memperkukuh langkah kawalan dalaman bagi meningkatkan keyakinan orang ramai terhadap perkhidmatan yang diberi.

“HTA komited untuk memastikan keselamatan pesakit sentiasa menjadi keutamaan dan amat menghargai kerjasama serta kefahaman semua pihak,” katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.