SHAH ALAM, 14 MEI: Polis meminta bantuan orang ramai bagi mengesan dua remaja perempuan berumur 15 tahun yang dilaporkan hilang secara berasingan di Sungai Buloh.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Superintendan Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata laporan pertama diterima jam 3.54 petang semalam membabitkan kehilangan Nur Amani Damia Roslan.
Remaja itu dilaporkan tiada di rumah sejak 17 Mac lalu pada jam 7.30 pagi di Batu 18 Kampung Merbau Sempak, Sungai Buloh.
"Remaja terbabit dianggarkan berketinggian 150 sentimeter (cm), berat 60 kilogram (kg), berkulit cerah dan berambut pendek.
"Kali terakhir dia dilihat memakai baju dan seluar berwarna gelap serta berselipar," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mohd Hafiz berkata satu lagi laporan diterima pada jam 12.44 tengah malam tadi, membabitkan kehilangan Angel Ho Kha Suen.
“Remaja perempuan ini dilaporkan tiada di rumah di Kampung Subang sejak Ahad lalu pada jam 7.30 pagi.
"Remaja terbabit dianggar tinggi 152 cm berat 49 kg, berkulit cerah dan berambut lurus paras bahu berwarna sedikit perang.
"Dia kali terakhir dilihat memakai kemeja T berlambang warna hitam, seluar panjang biru gelap dan berkasut," katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi balai polis berhampiran atau pegawai penyiasat, Sarjan Muhamad Rais Azmi di talian 016-9495707.








