Paip dasar laut pecah, bekalan air Pulau Ketam dijangka pulih Ahad ini

15 Mei 2026, 6:00 AM
Paip dasar laut pecah, bekalan air Pulau Ketam dijangka pulih Ahad ini
Paip dasar laut pecah, bekalan air Pulau Ketam dijangka pulih Ahad ini

SHAH ALAM, 15 MEI: Ribuan penduduk di Pulau Ketam berdepan gangguan bekalan air sejak 11 hari lalu selepas paip di dasar laut yang menyalurkan sumber air dari Pelabuhan Klang ke pulau berkenaan dilaporkan pecah.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) memaklumkan lokasi kebocoran sudah dikenal pasti dan kerja pembaikan sedang giat dijalankan dengan bekalan dijangka pulih sepenuhnya pada Ahad ini.

Ketua Kampung Pulau Ketam, Wang Kheng Hwa berkata, penduduk mula menyedari tekanan air rendah serta gangguan bekalan secara berselang-seli sebelum aduan dibuat kepada Air Selangor.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati paip di dasar laut yang menghubungkan Pelabuhan Klang ke Pulau Ketam dipercayai terpotong akibat terkena kipas bot nelayan.

Beliau berkata, tiga kawasan terjejas ialah Pulau Ketam, Kampung Bagan Sungai Lima dan Bagan Teochew, dengan keadaan di Bagan Teochew paling kritikal berikutan tekanan air yang diterima amat rendah selepas bekalan disalurkan ke kawasan pekan.

“Sepanjang tempoh gangguan, Air Selangor menghantar bekalan air minuman RO (osmosis songsang) setiap hari kepada penduduk dengan setiap isi rumah menerima antara dua hingga empat tong air bagi kegunaan harian,” katanya kepada Media Selangor.

Kakitangan Air Selangor memastikan bekalan air mencukupi disalurkan kepada penduduk Pulau Ketam susulan lawatan ke lokasi terjejas pada 12 Mei lalu. Foto Facebook Air Selangor

Menurut beliau, Air Selangor mengambil masa hampir seminggu untuk mengesan lokasi kebocoran termasuk menggunakan kaedah memasukkan pewarna ke dalam paip sebelum mengenal pasti kawasan rosak menerusi perubahan warna air laut.

Beliau berkata, proses pembaikan di dasar laut bukan mudah kerana pasukan teknikal perlu menunggu keadaan air surut untuk melakukan kerja kimpalan selain mendapatkan kebenaran daripada Jabatan Laut terlebih dahulu.

“Meskipun kira-kira 70 peratus penduduk mempunyai sistem tadahan air hujan sendiri untuk kegunaan mencuci dan mengepam tandas, cuaca kering kebelakangan ini menyebabkan stok air mereka hampir habis.

“Namun, saya dimaklumkan oleh Air Selangor bahawa kerja pembaikan sedang dilaksanakan dan dijangka siap sepenuhnya pada Ahad ini,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menggesa rangkaian paip lama di Pulau Ketam yang berusia antara 30 hingga 40 tahun diganti dan distruktur semula dengan segera bagi mengelakkan kejadian sama berulang.

Ketua Kampung Pulau Ketam, Wang Kheng Hwa.

Beliau turut mencadangkan supaya jajaran paip dipindahkan dari dasar laut ke daratan sebagai penyelesaian jangka panjang.

“Masalah paip pecah di dasar laut dilaporkan berlaku hampir setiap tahun dan insiden kali ini merupakan kejadian kedua direkodkan tahun ini.

“Biasanya apabila air laut surut pada awal dan pertengahan bulan mengikut kalendar lunar, bot nelayan akan menggunakan laluan lebih jauh untuk mengelak kawasan paip. Namun masih ada beberapa bot melalui kawasan berkenaan sehingga menyebabkan paip terpotong.

“Kalau paip pecah di darat, biasanya boleh siap dibaiki dalam setengah hari, tetapi kerosakan di dasar laut mengambil masa lebih lama,” katanya.

Sementara itu, Air Selangor memaklumkan pihaknya akan mempercepatkan kerja penggantian paip di kawasan kritikal Pulau Ketam tahun ini.

Menurut syarikat itu, kerja melibatkan saluran paip utama dijangka siap sepenuhnya menjelang suku kedua 2028.

Pada masa sama, Air Selangor turut menilai beberapa penyelesaian jangka panjang yang lebih mampan termasuk menaik taraf saluran paip serta memperkenalkan inisiatif meter pintar, pemantauan digital dan pengawasan operasi yang lebih menyeluruh di Pulau Ketam.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.