Projek Mas Melon Kuala Langat buka peluang baharu industri pertanian Selangor

14 Mei 2026, 1:18 AM
Projek Mas Melon Kuala Langat buka peluang baharu industri pertanian Selangor

SHAH ALAM, 14 MEI: Selangor bakal memperkenalkan varieti baharu Mas Melon yang mempunyai rasa lebih manis dan berpotensi menjadi produk pertanian bernilai tinggi di negeri ini.

EXCO Pertanian, Dato’ Ir Izham Hashim berkata varieti tersebut kini melalui projek percubaan di Pusat Pertanian Kampung Endah, Kuala Langat sebelum diperluaskan ke pasaran tempatan.

Menurutnya, pengenalan Mas Melon dilihat mampu membuka peluang pasaran baharu selain membantu meningkatkan pendapatan pengusaha tempatan.

"Mas Melon merupakan varieti baharu yang bakal diperkenalkan kepada rakyat dengan jaminan rasa lebih manis serta berpotensi membuka prospek pasaran dan pendapatan yang lebih baik kepada pengusaha tempatan," katanya di Facebook.

Terdahulu, beliau mengadakan lawatan kerja ke Pusat Pertanian Kampung Endah dan Pusat Teknologi Melon Selangor di Telok Datok dekat Kuala Langat.

Turut hadir Pegawai Daerah Kuala Langat Tengku Rohana Tengku Ahmad, Pengarah Jabatan Pertanian Selangor Azahar Ibrahim, Timbalan Pengarah Pertanian (Pembangunan) serta pegawai pertanian daerah.

Sementara itu, Jabatan Pertanian Selangor memaklumkan, projek tanaman melon itu diusahakan Koperasi Melon Selangor Berhad dengan enam varieti utama.

Enam varieti itu ialah Masmelon, Melosel, Rockmelon, Golden Kopmess, Golden Melon dan Golden Emerald.

Menurut jabatan itu, semua hasil tanaman berkenaan dijual kepada orang ramai sempena Minggu Melon Kuala Langat yang berlangsung dari 11 hingga 15 Mei di Pusat Teknologi Melon Selangor.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.