SEPANG, 14 MEI: Seorang anggota polis meninggal dunia dipercayai selepas menjalani aktiviti berkawad di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang, di sini semalam.
Koperal Khairil Idzhar Rodzi, 36, yang bertugas di Balai Polis Dato’ Abu Bakar Baginda disahkan meninggal dunia di IPD berkenaan, namun punca kematian belum disahkan.
Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar bersama Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (Perkep) Selangor Datin Rozana Kasbon menzahirkan ucapan takziah buat keluarga Allahyarham Khairil Idzhar.
“Allahyarham meninggal dunia pada usia 36 tahun dan telah berkhidmat dalam Polis Diraja Malaysia selama 17 tahun.
“Pemergian Allahyarham Kpl 171014 Khairil Idzhar merupakan satu kehilangan besar buat Warga Polis Kontinjen Selangor, salam takziah,” katanya menerusi kenyataan dalam Facebook rasmi Polis Selangor.
Media melaporkan Allahyarham rebah semasa menjalani aktiviti kawad dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan (KKM) yang menjalankan pemeriksaan ke atas dirinya di IPD Sepang.
Sehingga kini, IPD Sepang belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung punca kematian anggota berkenaan.







