DHAKA, 13 MEI: Makanan diproses dan makanan ultra-proses (UPF), termasuk snek berbungkus serta daging diproses merupakan antara penyumbang utama kepada pengambilan garam berlebihan di Bangladesh, kata penceramah pada satu seminar kesedaran pada Rabu, lapor United News of Bangladesh (UNB).
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), pengambilan garam secara berlebihan menyebabkan hampir 1.7 juta kematian di seluruh dunia setiap tahun. Di Bangladesh, makanan tinggi natrium dikaitkan dengan kira-kira 24,000 kematian setiap tahun.
Maklumat itu dikongsi pada seminar kesedaran awam yang dianjurkan sempena Minggu Kesedaran Garam 2026 yang disambut di seluruh dunia dari 11 hingga 17 Mei dengan slogan “Mari kurangkan garam dalam makanan kita bersama-sama.”
Ahli Pihak Berkuasa Keselamatan Makanan Bangladesh (BFSA) Prof Dr Mohammad Shoaib berkata walaupun garam penting untuk tubuh manusia, banyak penyakit yang disebabkan oleh pengambilan berlebihan boleh dicegah melalui perubahan pemakanan yang mudah.
Beliau memberi amaran bahawa natrium berlebihan meningkatkan tekanan darah dan meningkatkan risiko hipertensi, penyakit jantung, strok, serangan jantung, kegagalan jantung, penyakit buah pinggang, demensia vaskular, osteoporosis, kanser perut serta penyakit tidak berjangkit (NCD) lain secara ketara.
“Pengambilan garam secara berlebihan juga boleh menyebabkan penahanan cecair, bengkak, rasa berat pada badan, pengurangan fleksibiliti sendi dan kenaikan berat badan yang tidak sihat,” katanya.
Beliau berkata pengambilan makanan masin secara berkala memberi tekanan tambahan kepada jantung, otak, buah pinggang dan saluran darah, sekali gus meningkatkan risiko kesihatan jangka panjang.
Memetik Kajian Beban Penyakit Global 2023 oleh Institut Metrik dan Penilaian Kesihatan (IHME), Prof Shoaib berkata kira-kira 11 juta kematian di seluruh dunia pada 2023 dikaitkan dengan tekanan darah tinggi, termasuk 1.67 juta yang berkaitan secara langsung dengan diet tinggi natrium.
“Pengambilan garam secara berlebihan telah menjadi antara faktor risiko pemakanan yang boleh dicegah dan menjadi pendorong utama kepada epidemik penyakit tidak berjangkit di peringkat global,” katanya.
Beliau berkata NCD kini menjadi punca utama kematian di Bangladesh, menyumbang hampir 570,263 kematian setiap tahun atau kira-kira 71 peratus daripada jumlah keseluruhan kematian di negara itu.
Daripada jumlah itu, kira-kira 51 peratus merupakan kematian pramatang manakala penyakit jantung sahaja menyumbang 34 peratus daripada kematian.
Beliau menambah bahawa pengambilan garam harian yang disyorkan bagi seorang dewasa adalah kurang daripada lima gram, namun purata pengambilan di Bangladesh melebihi sembilan gram.








