DRT perkukuh pengangkutan awam di Lembah Jaya, sambutan positif penduduk

15 Mei 2026, 12:00 AM
DRT perkukuh pengangkutan awam di Lembah Jaya, sambutan positif penduduk

SHAH ALAM, 15 MEI: Perkhidmatan van transit atas permintaan (DRT) di Lembah Jaya semakin mendapat sambutan hangat dalam kalangan penduduk, khususnya di kawasan perumahan bertingkat seperti Pangsapuri Desa Lembah Permai dan Taman Nuri Jaya.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Lembah Jaya, Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Al-Hadad berkata penambahan laluan DRT hingga ke hujung Jalan Ampang memberi kemudahan lebih luas kepada penduduk, terutama mereka yang tinggal di kawasan flat.

“Apabila mereka tahu kosnya sangat murah dan berpatutan, alhamdulillah penggunaan semakin meningkat, sambutannya sangat baik dan maklum balas juga positif,” katanya dalam program SKOP terbitan Media Selangor

Selain memudahkan pergerakan harian, Syed Ahmad berkata DRT turut memberi kesan positif terhadap hubungan komuniti apabila penduduk mula berkongsi perjalanan ke tempat kerja.

Wakil rakyat Lembah Jaya, Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Al-Hadad ketika menjadi tetamu program SKOP terbitan Media Selangor bagi membincangkan usaha pemantauan cerun dan pengukuhan sistem pengangkutan awam demi kesejahteraan penduduk setempat.

“Dia ada kumpulan, contohnya yang pergi kerja pukul 7 pagi, mereka tempah untuk 'carpool' ke tempat kerja bersama dan di situ kita nampak bibit ukhuwah.

“Kadang-kadang kita tinggal dekat-dekat, tapi tak kenal jiran, tingkat lain pun tak kenal. Tapi melalui DRT, hubungan itu jadi lebih rapat,” katanya.

Perkhidmatan van DRT merupakan inisiatif Kerajaan Negeri bagi meningkatkan keberkesanan pengangkutan awam, sekali gus menggantikan kemudahan Bas Smart Selangor di kawasan berkepadatan tinggi dan sempit.

Projek Rintis DRT yang mula diperkenalkan pada 2023 ini dilaksanakan oleh Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI) dan dikawal selia oleh Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec).

Menerusi Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor, insentif penggunaan pengangkutan awam sebanyak RM30 sebulan disediakan kepada 50,000 warga Selangor selama enam bulan, melibatkan peruntukan sebanyak RM10.4 juta.

Langkah tersebut bertujuan mengurangkan kos perjalanan harian melibatkan perkhidmatan seperti van DRT, bas transit dan kereta api.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.