KUALA SELANGOR, 13 MEI: Sebuah skim strata di Puncak Alam digeledah Unit Pesuruhjaya Bangunan (COB) Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) bagi membantu siasatan berkaitan pengurusan dan pentadbiran kawasan berkenaan.
Operasi pemeriksaan dan penggeledahan tanpa waran bermula jam 10 pagi itu dijalankan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), melibatkan lapan pegawai.
MPKS memaklumkan pemeriksaan dibuat di bawah Seksyen 127 Akta Pengurusan Strata 2013 (Akta 757) bagi mendapatkan dokumen dan maklumat untuk siasatan lanjut mengikut Subseksyen 125(2) akta sama.
“Sepanjang operasi dijalankan, beberapa dokumen turut dirampas bagi membantu siasatan oleh pihak Unit Pesuruhjaya Bangunan (COB) MPKS dan Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya dalam kenyataan.
Menurut MPKS, pihak COB akan melantik ejen pengurusan sementara susulan peletakan jawatan semua ahli Jawatankuasa Badan Pengurusan Bersama (JMB) bagi memastikan urusan penyelenggaraan dan pengurusan skim strata terus berjalan lancar sehingga JMB baharu ditubuhkan.
"Unit Pesuruhjaya Bangunan MPKS komited memastikan setiap pengurusan strata mematuhi peruntukan di bawah Akta Pengurusan Strata 2013 demi menjaga kepentingan serta kesejahteraan komuniti strata," katanya.








