SHAH ALAM, 12 MEI: Kerajaan Negeri menyasarkan bas berkuasa hidrogen mula beroperasi menjelang hujung tahun ini sebagai usaha mempercepat peralihan kepada sistem pengangkutan hijau di Selangor.
EXCO Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Ng Sze Han berkata pelaksanaan projek itu bergantung kepada kesiapsiagaan tiga komponen utama iaitu fasiliti penjana hidrogen (electrolyser), stesen pengisian dan ketersediaan bas, lapor The Star.
Menurutnya, syarikat WorldWide Holdings Bhd (WHB), anak syarikat Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), sedang membina fasiliti penjana hidrogen di Batang Kali bagi menghasilkan bahan api berkenaan.
“Bas hidrogen pertama jenis 12 meter dengan kapasiti kira-kira 40 penumpang juga sudah tiba sebagai sebahagian projek perintis,” katanya.
Beliau berkata kerajaan negeri turut merancang membina stesen pengisian hidrogen di Puchong Utama dengan kerjasama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi.
Dalam perkembangan sama, Selangor menyasarkan elektrifikasi penuh terhadap 160 bas sedia ada menjelang 2030, termasuk 26 bas elektrik yang telah beroperasi ketika ini.
Sze Han berkata pembangunan kemudahan mikromobiliti juga sedang dipergiat menerusi pembinaan laluan pejalan kaki berbumbung dan laluan basikal di Persiaran Sultan, di sini.
Katanya, fasa pertama projek itu dijangka siap pada suku ketiga tahun ini yang akan menghubungkan Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah dengan pusat bandar Shah Alam termasuk Masjid Negeri dan Aneka Walk.
“Fasa seterusnya akan diperluaskan hingga ke Stesen LRT Dato’ Menteri yang merupakan sebahagian jajaran LRT3 Shah Alam,” katanya.
Beliau berkata projek LRT3 dijadual mula beroperasi Jun ini, manakala Rapid KL turut merancang memperluas perkhidmatan Demand Responsive Transit (DRT) di 10 zon baharu bagi menghubungkan stesen LRT3 serta memperkukuh perjalanan ‘first and last mile’ di kawasan bandar.
Katanya, usaha itu selari hasrat kerajaan negeri membangunkan sistem mobiliti bersepadu yang menggabungkan pengangkutan awam, mikromobiliti dan teknologi hijau demi kemudahan rakyat.








