SHAH ALAM, 12 MEI: Sambutan Hari Kesihatan Otak 2026 anjuran Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) memperkukuh kesedaran penyakit neurologi dalam kalangan masyarakat
Dekan Fakulti Perubatan UKM, Profesor Dato’ Dr. Marina Mat Baki berkata program itu turut memperkasa kesihatan awam melalui pendidikan, penyelidikan dan perkhidmatan klinikal.
Beliau berkata, penyakit neurologi kini antara penyumbang utama kematian dan ketidakupayaan di negara ini.
“Penyakit ini menjejaskan kualiti hidup pesakit, malah memberi beban penjagaan yang besar kepada keluarga serta sistem kesihatan negara,” katanya.
Menurutnya, penjagaan kesihatan otak perlu diberi perhatian sejak awal bagi menjamin kesejahteraan pada masa hadapan.
“Kesedaran awal dan amalan gaya hidup sihat adalah kunci utama dalam memastikan kualiti hidup yang lebih baik,” katanya ketika merasmikan Hari Kesihatan Otak 2026.

Program yang berlangsung di Auditorium HCTM, Cheras itu dihadiri kira-kira 250 peserta daripada pelbagai latar belakang termasuk doktor, jururawat, pesakit, waris serta pelajar Fakulti Perubatan.
Selain itu, turut diadakan pameran interaktif melibatkan pelbagai disiplin kesihatan seperti fisioterapi, farmasi dan psikologi.
Program berkenaan turut menampilkan siri ceramah oleh pakar perubatan yang membincangkan penyakit berkaitan otak seperti epilepsi, strok, penyakit motor neuron (MND), multiple sclerosis dan demensia.

Pensyarah dan Pakar Perunding Neurologi Fakulti Perubatan UKM (HCTM), Profesor Madya Dr. Rabani Remli berkata program itu bukan sahaja memberi input baharu, malah bermanfaat kepada pakar dan pengamal perubatan dalam bidang neurologi.
“Peserta dapat bertukar maklumat dan pengalaman berkaitan kepakaran masing-masing,” katanya.
Beliau yang juga pengerusi jawatankuasa program berharap segala perkongsian dapat diperluaskan kepada masyarakat, khususnya berkaitan tanda awal penyakit neurologi.





