DBKL kenal pasti 14 lokasi berisiko banjir kilat, giat laksana langkah mitigasi

12 Mei 2026, 6:58 AM
DBKL kenal pasti 14 lokasi berisiko banjir kilat, giat laksana langkah mitigasi

KUALA LUMPUR, 12 MEI: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengenal pasti 14 hotspot banjir di sekitar ibu negara yang akan diberi tumpuan menerusi pelaksanaan pelbagai langkah mitigasi.

Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Fadlun Mak Ujud berkata antara kawasan terlibat ialah Jalan Sultan Azlan Shah, Lebuhraya Sultan Iskandar, Bulatan Datuk Onn dan Jalan Tun Sambanthan.

“Jumlah hotspot air bertakung di ibu negara berjaya dikurangkan daripada lebih 30 lokasi sebelum ini kepada 14 lokasi hasil pelaksanaan pelbagai projek mitigasi dan penambahbaikan sistem saliran secara berterusan,” katanya pada sidang media di Menara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh dan Ketua Pengarah Jabatan Wilayah Persekutuan Datuk Muhammad Azmi Mohd Zain.

Fadlun berkata kejadian hujan berintensiti tinggi pada 6 Mei dengan bacaan 96.5 milimeter (mm) dalam tempoh satu jam di Stesen Hujan Universiti Malaya, melebihi paras amaran Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) kira-kira 60 mm bagi tempoh dua hingga empat jam, mengakibatkan kejadian banjir kilat di beberapa kawasan termasuk Segambut Dalam dan Pantai Dalam.

“Sebagai contoh, kejadian air bertakung di Segambut Dalam adalah akibat paras Sungai Toba merekodkan bacaan 43.14 mm melebihi paras bahaya, iaitu 42.8 mm.

“Kejadian di kawasan Pantai Dalam dan Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Bukit Jalil pula berlaku apabila paras air sungai meningkat hingga bacaan 32.88 mm, melebihi paras bahaya 32.66 mm menyebabkan sistem perparitan tidak dapat menampung aliran air,” katanya.

Fadlun berkata DBKL turut menubuhkan Task Force Hotspot Banjir Kilat Kuala Lumpur yang akan digerakkan sekiranya taburan hujan melebihi 22 mm sejam bagi membersihkan daun kering dan sampah yang menyekat saliran air di kawasan inlet.

“Kadangkala apabila hujan lebat berlaku, daun-daun kering akan menutup inlet dan menyebabkan air tidak dapat mengalir masuk ke sistem perparitan utama,” katanya.

Selain itu, beliau berkata pasukan petugas khas lubang jalan ditubuhkan bagi melaksanakan penutupan sementara jalan sekiranya terdapat kerosakan selepas banjir, sebelum kerja pembaikan penuh dilaksanakan.

Dalam pada itu, Fadlun berkata DBKL meningkatkan kekerapan kerja pembersihan kelodak di Sungai Toba daripada dua kali kepada enam kali setahun bagi meningkatkan kapasiti aliran air sungai.

Beliau berkata pendekatan sama turut dicadangkan di Sungai Kerayong menerusi kerjasama dengan JPS, selain meningkatkan kerja-kerja pembersihan longkang, pengorekan kelodak dan penyelenggaraan sistem perparitan secara berterusan.

“DBKL juga akan bekerjasama dengan syarikat utiliti bagi memastikan paip atau utiliti yang melintasi kawasan sungai dan parit tidak mengganggu aliran air,” katanya.

Sementara itu, Hannah berkata DBKL turut melaksanakan langkah pemakluman awal ramalan cuaca kepada warga kota melalui siaran di empat stesen radio, iaitu ERA FM, Hitz FM, MY FM dan Raaga sebanyak tiga kali sehari pada 9.30 pagi, 12 tengah hari dan 4 petang.

Hannah berkata inisiatif itu bertujuan memastikan maklumat ramalan cuaca jangka pendek dapat disampaikan secara lebih meluas kepada warga kota, termasuk lokasi spesifik dalam kawasan bandar raya.

“Melalui radio pelbagai bahasa ini, maklumat dapat disampaikan dalam bahasa Melayu, Inggeris, Mandarin dan Tamil, termasuk ramalan cuaca satu hingga dua jam mengikut lokasi seperti Setapak atau Wangsa Maju,” katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.