Pentadbiran Trump mohon mahkamah kekalkan tarif global 10 peratus

12 Mei 2026, 1:35 AM
Pentadbiran Trump mohon mahkamah kekalkan tarif global 10 peratus

ISTANBUL, 12 MEI: Pentadbiran Presiden Donald Trump memohon mahkamah supaya menangguhkan pelaksanaan keputusan yang mendapati tarif global 10 peratus terbaharu beliau tidak sah, sementara kerajaan merayu keputusan itu, lapor Anadolu Ajansi.

Permohonan itu bagi membolehkan Amerika Syarikat (AS) terus mengutip tarif daripada pengimport sementara proses rayuan berjalan.

Minggu lalu, panel Mahkamah Perdagangan Antarabangsa AS dalam keputusan 2-1 memutuskan bahawa tindakan Trump menggunakan Seksyen 122 Akta Perdagangan 1974 untuk mengenakan levi berkenaan adalah tidak sah.

Perintah mahkamah itu pada masa ini hanya menyekat penguatkuasaan tarif terhadap dua syarikat yang memfailkan kes berkenaan dan negeri Washington.

Bagaimanapun, Jabatan Kehakiman memberi amaran bahawa ribuan pengimport lain yang turut membayar tarif itu mungkin mengemukakan tuntutan sama sekiranya keputusan itu dikuatkuasakan secara lebih meluas.

Peguam kerajaan berkata keputusan itu akan menjejaskan agenda perdagangan Trump jika dikuatkuasa.

Mereka turut berkata ia boleh mengalihkan sumber kerajaan daripada usaha membayar balik satu lagi pusingan tarif global terdahulu yang dibatalkan Mahkamah Agung AS awal tahun ini.

Pentadbiran Trump telah merayu keputusan itu kepada Mahkamah Rayuan AS bagi 'Federal Circuit'.

Jabatan Kehakiman berkata sekiranya mahkamah perdagangan dan mahkamah rayuan enggan menangguhkan keputusan, pentadbiran itu bersedia memohon perintah kecemasan daripada Mahkamah Agung.

Pertikaian itu tertumpu kepada penggunaan Seksyen 122 oleh Trump, yang membenarkan sekatan import sementara dalam keadaan tertentu berkaitan imbangan pembayaran.

Mahkamah perdagangan menolak hujah pentadbiran bahawa istilah “defisit imbangan pembayaran” boleh ditafsir secara luas.

Menurut mahkamah, proklamasi Trump lebih bersandarkan kepada defisit perdagangan dan akaun semasa, bukannya jenis defisit khusus yang diperlukan di bawah Akta Perdagangan 1974.

Tarif 10 peratus itu mula berkuat kuasa pada Februari dan dijadual tamat pada Julai.

Menurut kerajaan, lebih 170,000 pengimport telah membayar deposit bagi tarif Seksyen 122 melibatkan 13 juta kemasukan barangan sejak pengisytiharan itu berkuat kuasa.

Pihak berkuasa kastam AS mengutip kira-kira US$8 bilion tarif Seksyen 122 pada Mac sahaja, menurut data kerajaan yang dianalisis oleh We Pay the Tariffs, sebuah gabungan perniagaan kecil.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.