AMPANG, 11 MEI: Penduduk dan wakil rakyat berharap isu pembiayaan projek Lebuhraya Lingkaran Timur Lembah Klang (EKVE) fasa 2 dapat diselesaikan segera bagi memastikan keselamatan penduduk serta melancarkan aliran trafik sekitar Bukit Antarabangsa dan Ukay Perdana.
Ahli Dewan Negeri Bukit Antarabangsa, Mohd Kamri Kamaruddin berkata kelewatan projek yang tertangguh sejak 2015 itu menimbulkan keresahan penduduk, khususnya melibatkan risiko cerun runtuh dan banjir lumpur ketika musim hujan.
“Yang mendatangkan kegusaran kepada penduduk ialah keadaan cerun yang kini berisiko. Saya berharap projek ini dapat disiapkan segera demi keselesaan dan keselamatan penduduk.
“Projek ini sepatutnya siap pada 2019, namun beberapa kali tertangguh sebelum sasaran baharu ditetapkan pada hujung tahun ini,” katanya ketika ditemui pada lawatan kerja projek EKVE Fasa 2, hari ini.

Beliau berkata kawasan Ukay Perdana dan Sierra Ukay antara paling terkesan apabila beberapa kali dilanda banjir lumpur hingga menyebabkan rumah dimasuki air serta kerosakan harta benda.
Katanya lagi, projek itu penting bagi melancarkan aliran trafik keluar ke Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) yang sering sesak terutama pada waktu puncak.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi Persatuan Penduduk Sierra Ukay (SEGORA), Mazhan Mahmood berkata penduduk sudah terlalu lama menanggung kesan kelewatan projek tersebut.

“Kami minta kontraktor mempercepatkan kerja kerana projek ini sudah lama tertangguh. Hampir 10 tahun kelewatan menyebabkan laluan keluar masuk tidak selamat dan penduduk trauma setiap kali hujan akibat banjir kilat sebelum ini,” katanya.
Beliau berkata kira-kira 284 rumah di Sierra Ukay terkesan secara langsung, manakala sekitar 35,000 penduduk Ukay Perdana berdepan kesesakan teruk untuk keluar ke MRR2 pada waktu puncak.
Dalam pada itu, Pengarah Perundangan dan Hal Ehwal Korporat WZR Property Sdn Bhd, Datuk Ahmad Fazli Ahmad Nordin berkata kerja pembinaan EKVE Fasa 2 dihentikan sementara susulan kekangan aliran tunai yang dihadapi syarikat konsesi.

Katanya, keadaan itu turut menjejaskan subkontraktor dan pembekal, sekali gus memaksa kerja di tapak dihentikan sementara.
“Jika isu pembiayaan ini dapat diselesaikan segera oleh pihak bank, kerja boleh diteruskan semula pada bila-bila masa. Namun keselamatan, keselesaan dan kesejahteraan penduduk tetap menjadi keutamaan,” katanya.
Beliau berkata pihak kontraktor bersedia menyambung semula kerja sebaik isu pembiayaan diselesaikan, dengan sasaran siap projek masih dikekalkan pada hujung tahun ini.
EKVE adalah sistem lingkaran jalan raya berbentuk orbit di Greater Kuala Lumpur dan membentuk bahagian timur Lebuhraya Lingkaran Luar Kuala Lumpur.
EKVE merangkumi 24 kilometer (km) lebuh raya utama dan 12km jalan susur keluar. Lebuh raya itu akan menjadi laluan alternatif kepada Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) dengan menyediakan jalan pintas untuk trafik utara-selatan tanpa memasuki pusat bandar Kuala Lumpur, seterusnya mengurangkan kesesakan.
EKVE menggalakkan urbanisasi yang seimbang di Greater Kuala Lumpur untuk mengekalkan pertumbuhan yang pesat, menyokong pertumbuhan ekonomi rakyat Selangor terutamanya Kajang dan Hulu Langat, menyediakan hubungan antara pusat bandar dan memastikan pengagihan pendapatan yang saksama










