SHAH ALAM, 11 MEI: Aktiviti gotong-royong membersihkan tanah perkuburan Islam di Kampung Batu 3 Semenyih telah memupuk semangat komuniti dalam kalangan penduduk setempat terumatanya golongan belia.
Penyelaras program, Mohamad Zawawi Baharon, 43, berkata, aktiviti bulanan itu dilaksanakan secara konsisten sejak 2019 melibatkan penduduk kampung termasuk golongan muda.
"Aktiviti membersih kubur merupakan program bulanan selain mengeratkan lagi hubungan silaturahim antara penduduk kampung," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, program anjuran Kelab Rekreasi Kampung Batu 3 Semenyih bersama pengurusan Masjid Kariah Masjid Kampung Batu 3 itu bertujuan memastikan kawasan perkuburan sentiasa bersih dan selesa untuk diziarahi.
Beliau berkata, usaha amal jariah berkenaan turut mendapat sokongan penduduk dari taman dan kampung berhampiran yang bersama-sama menyertai gotong-royong setiap bulan.
"Diharapkan usaha ini terus menjadi tradisi kepada penduduk kampung dalam melakukan kerja kebajikan dan sentiasa melakukan amal bakti," katanya.

Sementara itu, peserta Muhammad Bidin, 34, berkata, beliau menyertai program ini sebagai tanggungjawab menjaga kawasan perkuburan supaya sentiasa bersih dan terurus selain peluang untuk berbakti kepada masyarakat.
"Program ini unik kerana bukan sekadar membersihkan kawasan kubur, sebaliknya menjadi platform masyarakat berkumpul serta mengeratkan silaturahim.
"Malah penduduk kampung bukan sekadar menyumbang tenaga, penduduk kampung juga boleh menyumbang seperti makanan, minuman dan barang-barang keperluan gotong-royong," katanya kepada Media Selangor.
Beliau berkata, program seumpama itu membantu membentuk sikap prihatin dan semangat bekerjasama dalam kalangan anak muda.
"Ia juha membantu mereka lebih dekat dengan masyarakat serta belajar menghargai nilai kebersamaan dan kesukarelawanan," tambahnya yang aktif aktiviti komuniti sejak 2015.

Ketua Kampung Batu 3 Jalan Bangi Semenyih, Johari Tinnin pula menyifatkan program berkenaan sebagai platform terbaik untuk golongan belia bergaul dan bermasyarakat dengan berfaedah.
"Program biasanya disertai 20 peserta, yang paling ramai 25-40 tahun. Yang paling muda sekitar 12-15 tahun," katanya.
Johari berkata, penduduk kampung dan kelab rekreasi berkenaan aktif menganjurkan pelbagai aktiviti komuniti yang boleh disertai pelbagai lapisan usia.
"Kalau waktu raya, kami akan masak rendang, dodol dan bakar lemang. Selain itu, kami akan gotong-royong bersihkan jalan dan rumah sampah," tambahnya.









