PGA tahan 335 warga asing dalam Op Taring Nyah di Selangor, Johor

11 Mei 2026, 9:31 AM
PGA tahan 335 warga asing dalam Op Taring Nyah di Selangor, Johor

SHAH ALAM, 11 MEI: Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tengah menahan 335 warga asing menerusi Op Taring Nyah 1 yang dijalankan di pesisir perairan Selangor dan Johor sejak 1 Januari lalu.

Komander Briged Tengah PGA Senior Asisten Komisioner Hakemal Hawari berkata operasi berterusan itu dijalankan bagi membanteras kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) ke negara ini.

Menurutnya, sepanjang tempoh 1 Januari hingga hari ini, pihaknya melaksanakan 38 serbuan yang membawa kepada 55 kes berkaitan penyeludupan migran.

“Briged Tengah PGA merekodkan 335 tangkapan terdiri daripada 237 lelaki, 96 wanita dan dua kanak-kanak kesemuanya warga asing,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Harian Metro.

Beliau berkata, polis turut menahan 37 individu yang disyaki bertindak sebagai tekong darat dalam operasi berkenaan.

“Tangkapan melibatkan lima lelaki warga tempatan, 29 lelaki dan dua wanita Indonesia serta seorang lelaki Myanmar,” katanya.

Selain tangkapan, pihak berkuasa turut merampas pelbagai aset dan peralatan yang dipercayai digunakan dalam kegiatan penyeludupan migran.

Hakemal berkata rampasan melibatkan 20 kenderaan pelbagai jenis, tiga bot dan 57 telefon bimbit dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM1.6 juta.

Menurutnya, semua tindakan penguatkuasaan dijalankan mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata PGA Briged Tengah turut melaksanakan 159 operasi penguatkuasaan lain sepanjang tempoh sama termasuk Op Taring Alpha, Op Taring Bravo, Op Taring Charlie, Op Taring Delta, Op Hazard, Op Mitra, Operasi Bersepadu Khazanah (OBK), Op Palma serta operasi intra dan inter agensi.

“Hasilnya, seramai 551 individu ditangkap dengan pelbagai rampasan membabitkan nilai keseluruhan RM242 juta.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.