NKF anjur Hari Buah Pinggang Sedunia 2026 di Sarawak, fokus pencegahan penyakit

11 Mei 2026, 8:21 AM
NKF anjur Hari Buah Pinggang Sedunia 2026 di Sarawak, fokus pencegahan penyakit
NKF anjur Hari Buah Pinggang Sedunia 2026 di Sarawak, fokus pencegahan penyakit
NKF anjur Hari Buah Pinggang Sedunia 2026 di Sarawak, fokus pencegahan penyakit

KOTA SAMARAHAN, 11 MEI: Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan Malaysia (NKF), dengan kerjasama Pusat Kesihatan UNIMAS, telah menganjurkan sambutan Hari Buah Pinggang Sedunia 2026 peringkat negeri buat julung kalinya bersempena tema global tahun ini, “Kesihatan Buah Pinggang untuk Semua: Menjaga Manusia, Melindungi Planet”, susulan kejayaan sambutan peringkat kebangsaan baru-baru ini di Lembah Klang.

Inisiatif ini mencerminkan komitmen bersama antara NKF dan Pusat Kesihatan UNIMAS dalam meningkatkan kesedaran mengenai kesihatan buah pinggang serta memupuk budaya penjagaan kesihatan pencegahan dan gaya hidup sihat dalam kalangan rakyat Sarawak.

Selain itu, NKF turut menganjurkan World Kidney Day Charity Fun Run yang menjadi pencapaian penting dalam sambutan peringkat negeri tahun ini. Larian komuniti sejauh 5 kilometer itu berjaya menghimpunkan kira-kira 250 peserta yang terdiri daripada pelajar, kakitangan universiti dan orang awam.

Program ini bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan pengesanan awal dan pencegahan dalam mengurangkan risiko penyakit buah pinggang, di samping memperkukuhkan penglibatan komuniti terhadap isu kesihatan awam.

Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan II Sarawak, Datuk Michael Tiang Ming Tee berucap merasmikan sambutan Hari Buah Pinggang Sedunia 2026 peringkat Sarawak di Kota Samarahan pada 9 Mei 2026. Foto GO Communications

"Penyakit buah pinggang sering menjadi ancaman senyap, justeru kesedaran awal dan saringan kesihatan amat penting. Pengukuhan pemahaman masyarakat di Sarawak adalah kunci dalam menangani cabaran kesihatan yang semakin meningkat ini.

"Melalui penglibatan komuniti secara berterusan dan pelaksanaan inisiatif pencegahan, kami berharap lebih ramai individu dapat membuat pengesanan awal serta menikmati tahap kesihatan yang lebih baik," kata Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan II Sarawak, Datuk Michael Tiang Ming Tee.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan Malaysia (NKF), Choo Kok Ming berucap ketika majlis perasmian sambutan Hari Buah Pinggang Sedunia 2026 peringkat Sarawak di Kota Samarahan pada 9 Mei 2026. Foto GO Communications

"Di NKF, kami percaya bahawa kesihatan buah pinggang adalah tanggungjawab bersama. Saya amat menghargai sokongan Kerajaan Negeri Sarawak dan juga Pusat Kesihatan UNIMAS (PKU) dalam memperkukuh kesedaran mengenai kesihatan buah pinggang dalam kalangan rakyat Sarawak.

"Kami kekal komited untuk bekerjasama dengan semua pihak berkepentingan dalam memperluaskan usaha penjagaan pencegahan dan program jangkauan komuniti demi memperkasakan lebih ramai rakyat Malaysia dengan pengetahuan untuk menjaga kesihatan buah pinggang mereka,” kata Ketua Pegawai Eksekutif NKF, Choo Kok Ming.

“Pusat Kesihatan UNIMAS sentiasa mengalu-alukan dan menggalakkan kerjasama demi manfaat komuniti UNIMAS. Kami komited untuk terus bekerjasama dengan pelbagai pihak bagi meningkatkan kesedaran kesihatan dan kesejahteraan warga kampus,” kata Ketua Pusat Kesihatan UNIMAS, Hal Ehwal Pelajar dan Alumni Dr. Nurnazarina Mahrif.

Selain larian amal tersebut, para peserta turut menjalani pelbagai saringan kesihatan serta menyertai aktiviti komuniti lain seperti pameran pemindahan organ dan sesi cabutan bertuah.

NKF terus komited dalam mempromosikan kesedaran kesihatan buah pinggang di seluruh negara sambil menyokong pesakit yang memerlukan rawatan berterusan.

Sambutan Hari Buah Pinggang Sedunia yang diraikan setiap tahun di peringkat global menjadi peringatan penting kepada seluruh rakyat Malaysia untuk mengutamakan langkah pencegahan, menggalakkan pengesanan awal dan memastikan akses rawatan buah pinggang yang saksama untuk semua.

Untuk maklumat lanjut, sila layari nkf.org.my dan www.hepa.unimas.my untuk mengetahui lebih lanjut mengenai program ini.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.