SHAH ALAM, 11 MEI: Empat bersaudara yang dalam perjalanan ke sekolah parah selepas motosikal yang dinaiki mereka berempat berlanggar dengan sebuah kereta di Kilometer 51.4 Jalan Kota Bharu–Kuala Krai, berhampiran Kampung Pek, Machang, Kelantan, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira 7 pagi itu, mangsa yang cedera ialah penunggang motosikal, Muhammad Muskir Rosli, 14, pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Intan di sini.
Tiga pembonceng motosikal ialah Mas Siti Rosnani Rosli, 7, Muhamad Hakikat Abdul Rahman, 9, dan Muhammad Zulhaqif Muhamad Zulkifli, 12, yang masing-masing bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Pek.
Pemandu kereta iaitu seorang guru wanita berusia 39 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.
Ketua Polis Daerah Machang, Superintenden Azuhar Md Nor berkata kemalangan itu membabitkan kereta Honda Jazz dengan motosikal jenis Honda C100.
“Siasatan awal mendapati kereta berkenaan dipandu dari arah Machang menghala ke Kuala Krai manakala motosikal ditunggang pelajar lelaki bersama tiga pembonceng tersebut datang dari arah bertentangan.
“Apabila sampai di lokasi kejadian, motosikal tersebut dipercayai membelok ke kanan secara tiba-tiba untuk masuk ke simpang sekolah sebelum melanggar bahagian hadapan sisi kanan kereta yang sedang melalui laluan sah,” katanya dalam kenyataan.
Azuhar berkata, kesemua mangsa dihantar ke Hospital Machang untuk rawatan lanjut sebelum dirujuk ke Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai.
“Orang ramai yang menyaksikan kejadian atau mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Machang di talian 09-9751222,” katanya.
Tambah beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.







