SHAH ALAM, 11 MEI: Sebelas gajah Pygmy Borneo diselamatkan selepas terperangkap dalam sebuah kolam air terbiar berhampiran Hutan Simpan Deramakot di Ladang FGV Cepat Ringgit B, KInabatangan, Sabah.
Kejadian dipercayai berlaku minggu lalu akibat keadaan tebing kolam curam serta licin, sekali gus menyukarkan haiwan berkenaan keluar, menurut kenyataan dikongsi Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah di Facebook 5R Hidupan Liar.
JHL Sabah memaklumkan pasukan JHL daerah Kinabatangan dikerah ke lokasi kejadian dan membentuk laluan keluar lebih landai dan selamat bagi membolehkan kawanan gajah keluar dari kolam.
"Hasil kerjasama semua pihak, semua gajah diselamatkan tanpa sebarang kecederaan serius dilaporkan," menurut kenyataan itu.
JHL turut mencadangkan kolam terbiar itu ditutup atau dipasang halangan keselamatan bersesuaian bagi mengelak kejadian sama berulang pada masa depan.
“JHL merakamkan penghargaan kepada semua pihak termasuk pekerja ladang yang menyalurkan maklumat awal sehingga operasi menyelamat dapat dilaksanakan dengan segera.
"Ini membuktikan kerjasama antara agensi, pihak ladang dan masyarakat amat penting dalam memastikan keselamatan hidupan liar terus terpelihara, khususnya spesies ikonik Sabah seperti gajah Pygmy Borneo," maklumnya.










