SHAH ALAM, 11 MEI: Persekutuan Pusat Pembangunan Kemahiran Malaysia (FMSDC) melancarkan Program Biasiswa Kemahiran Industri Tenaga GE Vernova (EISS) sebagai usaha memperkukuh pembangunan tenaga kerja berkemahiran tinggi dalam sektor tenaga negara.
FMSDC menerusi kenyataan memberitahu, program dengan kerjasama GE Vernova Foundation dan Assist International itu menandakan satu pencapaian penting dalam usaha melahirkan tenaga kerja yang bersedia memenuhi keperluan industri masa depan.
Majlis pelancaran telah diadakan di Pusat Pembangunan Teknologi Selangor (STDC) pada 16 Mac lalu sebelum diikuti lawatan teknikal ke Pusat Kemahiran Industri dan Pengurusan Kedah (KISMEC) sehari selepas itu.
Lawatan tersebut memberi pendedahan kepada peserta mengenai latihan kimpalan secara praktikal serta pelaksanaan pembangunan kemahiran secara hands-on dalam persekitaran industri sebenar.
"FMSDC merakamkan penghargaan kepada semua Pusat Pembangunan Kemahiran Negeri (SDC) atas penyertaan dan sokongan sepanjang program dua hari itu yang menyumbang kepada kejayaan inisiatif berkenaan," tulisnya dalam kenyataan.
Melalui kerjasama ini, FMSDC dan rakan strategiknya menegaskan komitmen untuk memperluaskan laluan pembangunan kemahiran serta menyediakan peluang lebih luas kepada generasi baharu dalam industri tenaga.








