MUGLA (Turkiye), 11 MEI: Flotila Sumud Global yang dalam pelayaran menghantar bantuan kemanusiaan ke Gaza sebelum dipintas Israel di Laut Mediterranean, tiba di Daerah Marmaris dalam Wilayah Mugla untuk penyelenggaraan teknikal dan mendapatkan bekalan.
Prosedur kemasukan bagi aktivis yang berada di atas kapal yang berlabuh satu demi satu di Pelabuhan Marmaris kini sedang dijalankan, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Flotila bantuan ke Gaza itu berlepas dari Barcelona, Sepanyol pada 15 April dengan membawa hampir 300 aktivis dari pelbagai negara. Sebanyak 38 bot yang membentuk kumpulan itu berlabuh di pelabuhan itu lewat malam tadi.
Setakat pagi ini, prosedur kemasukan terkawal bagi aktivis yang tiba dari Pulau Crete, Greece telah dimulakan, manakala persiapan rapi bagi proses undang-undang dan perubatan di daerah itu selesai dilakukan.
Pegawai daripada Global Sumud Türkiye menyatakan bahawa misi kemanusiaan itu akan diteruskan dan flotila berkenaan dirancang belayar semula Rabu ini.
Misi Musim Bunga Flotila Global Sumud 2026, yang bertujuan memecahkan sekatan Israel ke atas Semenanjung Gaza, telah dipintas oleh tentera Israel di luar pantai Crete pada 29 April. Flotila bantuan itu diserang pada 30 April berhampiran Crete, kira-kira 600 batu nautika dari destinasinya di Gaza.
Kapal pertama flotila itu meninggalkan Barcelona pada 12 April, manakala armada utama belayar dari Pulau Sicily, Itali pada 26 April.
Israel mengenakan sekatan ke atas Semenanjung Gaza sejak 2007, menyebabkan 2.4 juta penduduknya berada di ambang kebuluran.
Tentera Israel melancarkan serangan ganas selama dua tahun ke atas Gaza bermula Oktober 2023, mengorbankan lebih 72,000 orang, mencederakan lebih 172,000 yang lain serta menyebabkan kemusnahan besar-besaran di wilayah berkenaan.












