Gudang perabot di Semenyih musnah terbakar

10 Mei 2026, 4:05 PM
Gudang perabot di Semenyih musnah terbakar

SHAH ALAM, 11 MEI: Sebuah gudang perabot berdekatan Diamond City, Jalan Broga di Semenyih musnah teruk apabila kira-kira 80 peratus struktur bangunan itu terbakar dalam kejadian petang semalam.

Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 5.45 petang sebelum jentera pertama dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Semenyih tiba di lokasi empat minit kemudian.

Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II Hasmizee Lai berkata kebakaran melibatkan bangunan kelas B dengan keluasan dianggarkan 200 x 50 kaki persegi.

"Pasukan bomba tiba di lokasi kejadian yang terletak kira-kira tiga kilometer dari BBP Semenyih pada jam 5.49 petang dan mendapati api sedang marak memusnahkan gudang berkenaan.

"Laporan awal mengesahkan kebakaran memusnahkan 80 peratus daripada keseluruhan gudang tersebut. Setakat ini, tiada sebarang mangsa dilaporkan terbabit dan kerja pemadaman masih giat dijalankan," katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata operasi pemadaman melibatkan seramai 27 pegawai dan anggota bomba dari beberapa balai berhampiran.

Menurutnya, selain BBP Semenyih, bantuan turut diterima daripada BBP Kajang, BBP Bangi, BBP Pandan Indah dan BBP Mantin.

"Turut digerakkan ke lokasi bagi membantu operasi adalah enam anggota dari Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Serdang.

"Sebanyak empat jentera pemadam Fire Rescue Tender (FRT), dua lori tangki air (Water Tanker) dan sebuah kenderaan utiliti dari PBS Serdang sedang digunakan dalam operasi memadam kebakaran ini," katanya.

Hasmizee berkata punca kebakaran serta jumlah kerugian masih dalam siasatan, sementara operasi memadam sisa kebakaran dan mengawal api daripada merebak terus dijalankan.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.