SHAH ALAM, 10 MEI: Sebanyak 1,500 bekas makanan diagihkan kepada golongan ibu sempena sambutan Hari Ibu di empat lokasi sekitar Bandar Baru Klang, hari ini.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Bandar Baru Klang, Dr Quah Perng Fei berkata inisiatif itu bertujuan menawarkan hadiah yang lebih praktikal dan boleh digunakan dalam kehidupan harian berbanding pemberian bunga.
Menurut beliau, pemilihan bekas makanan dibuat kerana ia lebih tahan lama serta membantu memudahkan penyediaan bekalan makanan.
"Kita agihkan semua untuk ibu-ibu. Kita tidak mengagih bunga atau benda lain sebab kita rasa lunchbox (bekas makanan) ini lebih tahan, boleh guna berulang-ulang kali," katanya ketika dihubungi Media Selangor.

Beliau berkata penggunaan bekas makanan juga dapat menggalakkan amalan mesra alam, khususnya dalam kalangan ibu bekerja.
"Bila ibu yang bekerja dia boleh bawa lunch (makan tengah hari) dia dengan lunchbox inilah. Ia lebih mesra alam berbanding menggunakan bekas makanan jenis polistirena," katanya.
Terdahulu, Perng Fei menyerahkan 500 bekas makanan di Pasar Pagi Taman Klang Utama dan 500 lagi di Pasar Pagi Taman Eng Ann.
Sebanyak 300 bekas makanan turut diagihkan di Pasar Pagi Taman Meru manakala 200 lagi di Pasar Pagi dan Padang, Jalan Tepi Sungai.









