SHAH ALAM, 10 MEI: Polis menahan enam lelaki dipercayai terlibat dalam kes kecurian kabel di Seksyen 2, di sini yang berlaku awal bulan ini.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Ramsay Embol berkata kesemua suspek warga tempatan berusia antara 26 hingga 40 tahun itu ditahan di sekitar Lembah Klang antara 4 Mei hingga semalam.
Menurutnya, siasatan mendapati semua suspek mempunyai antara tujuh hingga 31 rekod jenayah lampau, manakala empat daripada mereka didapati positif dadah ketika ditahan.
“Sepanjang operasi serbuan, turut dirampas sebuah Nissan Navara, peralatan digunakan ketika mencuri kabel serta tiga gulung kabel milik Telekom Malaysia (TM).
“Siasatan lanjut masih diteruskan dan polis percaya tangkapan ini dapat menyelesaikan beberapa lagi kes curi kabel lain di Selangor,” katanya dalam kenyataan.
Ramsay berkata semua suspek disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Kes turut disiasat di bawah Seksyen 235 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM300,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Awal bulan ini, video memaparkan kejadian kecurian kabel oleh sekumpulan lelaki yang menaiki pacuan empat roda tular di media sosial.








