SHAH ALAM, 10 MEI: Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS) sedang menguruskan bantuan kepada keluarga murid Tahun Enam yang meninggal dunia selepas pengsan ketika mengikuti perhimpunan di sebuah sekolah di Kapar, kelmarin.
JPNS memaklumkan pihaknya turut memastikan aspek kebajikan dan kesejahteraan keluarga Allahyarham Muhammad Fahim Darwisy Yusmafendi diberi perhatian.
“JPNS mengucapkan takziah kepada keluarga Muhammad Fahim Darwisy Yusmafendi yang tidak sedarkan diri ketika sesi bacaan Yasin dijalankan di sekolah dan meninggal dunia di hospital.
Semoga roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang beriman dan seluruh keluarga diberi kekuatan serta ketabahan dalam menghadapi ujian berat ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S Vijaya Rao berkata mangsa berusia 12 tahun itu dilaporkan pengsan kira-kira jam 8.30 pagi ketika sesi perhimpunan di sekolah berkenaan.
Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang untuk mendapatkan rawatan sebelum disahkan meninggal dunia.
Hasil bedah siasat mendapati tiada unsur jenayah dalam kejadian tersebut.
Bagaimanapun, punca kematian masih belum dapat dipastikan dan pihak berkuasa kini menunggu laporan lengkap makmal, dengan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR).








