KOMSEL platform mahasiswa Selangor timba ilmu, fahami hala tuju negeri

10 Mei 2026, 8:05 AM
KOMSEL platform mahasiswa Selangor timba ilmu, fahami hala tuju negeri
KOMSEL platform mahasiswa Selangor timba ilmu, fahami hala tuju negeri
KOMSEL platform mahasiswa Selangor timba ilmu, fahami hala tuju negeri
KOMSEL platform mahasiswa Selangor timba ilmu, fahami hala tuju negeri
KOMSEL platform mahasiswa Selangor timba ilmu, fahami hala tuju negeri

SYDNEY, 10 MEI: Pelajar Selangor di Australia menyifatkan Konvensyen Mahasiswa Selangor (KOMSEL) sebagai program luar biasa yang membuka peluang menimba pengetahuan, jaringan dan pembangunan diri.

Penuntut jurusan ekonomi di University of New South Wales (UNSW), Muhammad Izz Aniq Mohammad Fariz, 23, berkata banyak perkara baharu dipelajari sepanjang empat hari konvensyen berlangsung terutama berkaitan agenda pembangunan negeri dan aspek kepimpinan.

Muhammad Izz Aniq Mohammad Fariz

"Ini pertama kali saya menyertai konvensyen berskala besar di Australia melibatkan kehadiran pegawai tertinggi. Mereka bawa pengalaman terus kepada kami dengan berkongsi inisiatif, perancangan dan hala tuju negeri.

"Walaupun berlangsung dalam tempoh singkat, banyak input diperoleh. Lebih mengujakan, idea dan resolusi dikeluarkan barisan peserta sangat menarik," katanya.

Anna Faresa Mohd Arman

Bagi penuntut jurusan perakaunan di universiti sama, Anna Faresa Mohd Arman, 21, konvensyen yang menghimpunkan lebih 140 pelajar itu permulaan penting untuk mereka merangka hala tuju kerjaya selepas tamat pengajian.

"Selain menyatukan pelajar dari seluruh Australia, konvensyen ini dapat memperkukuh hubungan dengan orang daripada latar belakang dan industri berbeza.

"Pelajar boleh guna peluang ini untuk bina jaringan dan melihat potensi kerjaya mengikut bidang pengajian masing-masing. Sekembalinya ke negara suatu hari nanti, kami harap boleh menyumbang sesuatu," katanya.

Gwyneth Tee Xuen Qi

Seorang lagi mahasiswa, Gwyneth Tee Xuen Qi, 20, berkata, penganjuran konvensyen itu membuka peluang untuk mengenali secara mendalam inisiatif yang sedang dan akan dilaksanakan Kerajaan Selangor.

"Banyak pengetahuan baru saya dapat melalui perkongsian pihak terlibat terutama apa yang Selangor sedang buat ketika ini. Bukan pendidikan semata-mata, tetapi dalam semua aspek.

"Perkongsian menarik membuatkan saya teruja untuk tahu lebih lanjut. Diharap penganjurannya diteruskan pada masa akan datang kerana ia memang membantu dan memberi pengalaman baru," katanya.

Yuvan Chellian Kannan

Sementara itu, Yuvan Chellian Kannan, 21, yang merupakan pelajar jurusan sains di University of Sydney berkata, konvensyen tersebut menjadi platform tepat untuk mempamerkan keupayaan diri memimpin.

"Saya juga pertama kali menyertai konvensyen yang dihoskan Kerajaan Selangor. Pembabitan saya bukan sahaja sebagai peserta, tetapi urus setia acara.

"Di sini ia menguji sejauh mana saya dan rakan-rakan lain mampu mengendalikan acara. Secara tidak langsung saya dapat tonjolkan kemampuan diri dan tambah kemahiran baru. Terima kasih atas peluang untuk mewakili anak Selangor," katanya.

Yu Heng Seow

Nada sama disuarakan penuntut jurusan komputer sains di Monash University, Yu Heng Seow, 21, yang menganggap penganjuran konvensyen itu mampu menonjolkan bakat pelajar dan berkongsi pandangan baharu.

Berlangsung dari 7 Mei, KOMSEL 2026 yang mengangkat tema 'Inovator Muda Mencorak Masa Depan Malaysia' melabuhkan tirainya malam tadi dengan pelbagai pengisian.

Ia termasuk Dialog Masa Depan Selangor, Seminar Inovasi, Wacana Syarahan Kebangsaan, Young Innovators Venture Challenge serta perkongsian oleh Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.