SHAH ALAM, 10 MEI: Dato’ Menteri Besar menzahirkan penghargaan kepada semua ibu sempena sambutan Hari Ibu, selain menyifatkan golongan itu sebagai tunjang keluarga dan pembentuk generasi masa depan.
Dato’ Seri Amirudin Shari berkata jasa dan pengorbanan seorang ibu amat besar dalam membesarkan anak-anak dengan penuh kasih sayang, doa serta ketabahan meskipun berdepan pelbagai cabaran kehidupan
“Hari ini, walau dunia dipenuhi skrin dan kecerdasan buatan, tiada algoritma mampu menggantikan cinta tulus seorang ibu yang mendidik, melindungi dan membentuk generasi masa depan.
“Selamat Hari Ibu kepada seluruh wanita hebat yang menjadi cahaya keluarga, penguat masyarakat dan asas kemajuan negeri,” katanya di Facebook.
Amirudin turut berkongsi pengorbanan isterinya, Datin Seri Masdiana Muhamad yang juga ibu kepada enam anak mereka, atas peranan besar memastikan keluarga terus kuat dan harmoni ketika beliau memikul amanah sebagai pemimpin negeri.
Dalam pada itu, beliau berkata Kerajaan Selangor akan terus memperkukuh agenda kebajikan wanita dan ibu sebagai sebahagian daripada usaha membangunkan negeri secara menyeluruh, bukan sahaja dari sudut ekonomi tetapi juga kesejahteraan sosial.
Sambutan Hari Ibu yang disambut seluruh dunia pada 10 Mei setiap tahun menjadi wadah untuk mengenang, menghargai dan menzahirkan rasa terima kasih atas segala pengorbanan serta jasa insan yang bergelar ibu.
Tahun ini, sambutan Hari Ibu diraikan dengan tema “Seteguh Kasih Ibu”, yang menzahirkan penghargaan terhadap keteguhan kasih sayang dan pengorbanan golongan ibu di seluruh negara.









