SHAH ALAM, 9 MEI: Empat premis pusat kecantikan di Setia Alam diarahkan tutup selepas didapati beroperasi tanpa lesen dalam operasi bersepadu Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) bersama polis, malam tadi.
Operasi dari jam 9 malam hingga 12 tengah malam itu melibatkan pemeriksaan ke atas enam premis di sekitar Jalan Prima Setia Alam, Seksyen U13.
MBSA memaklumkan, selain penutupan premis, tindakan sitaan turut diambil terhadap tiga premis atas pelbagai pelanggaran syarat pelesenan.
“Tindakan diambil di bawah Undang-Undang Kecil Pusat Kecantikan dan Penjagaan Kesihatan (MBSA) 2013 kerana menjalankan perniagaan tanpa lesen sah,” menurut kenyataan itu.
Operasi diketuai Penolong Pengarah Kanan MBSA, Zakaria Mat Piah dengan kerjasama beberapa jabatan termasuk penguatkuasaan, pelesenan serta polis.
Menurut MBSA, tindakan tegas itu bagi membanteras premis tidak berlesen serta memastikan pematuhan undang-undang demi keselamatan dan kesejahteraan awam.
MBSA turut memberi amaran akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan dan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang melanggar peraturan.









