Pesta Pantun HAWANA-DBP 2026 himpun media, angkat budaya

9 Mei 2026, 1:49 AM
Pesta Pantun HAWANA-DBP 2026 himpun media, angkat budaya

KUALA LUMPUR, 9 MEI: Pesta Pantun HAWANA-DBP 2026 berlangsung hari ini di Panggung Sari, Kompleks Kraf di sini, sebagai antara pengisian menuju kemuncak sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2026.

Bertemakan Kewartawanan dan Teknologi, pertandingan anjuran Bernama dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) itu, menyaksikan penyertaan lapan pasukan yang terdiri daripada Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), TV3, Astro Audio News, Berita Harian, Sinar Harian, Media Selangor dan Bernama.

Menambah seri pertandingan, peserta turut mengenakan busana bertemakan pahlawan dan srikandi Melayu yang menyerlahkan keindahan warisan budaya tempatan serta menyuntik elemen estetika.

Pertandingan itu diadili oleh Perancang Bahasa Akademi DBP Dr Faezah Muhayat; Perancang Bahasa DBP Wilayah Tengah Musazliza Mustan Shir serta Perancang Bahasa DBP Azimin Daud, manakala Ahmad Fedtri Yahya bertindak sebagai jurupantun yang menghidupkan perjalanan pertandingan.

Setiap pasukan mempersembahkan rangkap pantun yang menyentuh elemen kewartawanan, teknologi, serta disulami unsur humor, nasihat dan perpaduan, sekali gus mencerminkan kreativiti serta kepekaan terhadap isu semasa.

Bagaimanapun, keputusan johan dan naib johan hanya akan diumumkan pada kemuncak sambutan HAWANA 2026 di Pulau Pinang pada 20 Jun ini, yang dijadual disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pesta Pantun HAWANA-DBP 2026 menawarkan hadiah wang tunai RM3,000 berserta trofi dan sijil kepada juara, RM2,000 bagi naib juara dan RM1,000 untuk tempat ketiga, selain RM500 bagi kategori Pemantun Terbaik serta hadiah khas busana terbaik lelaki dan wanita sebagai pengiktirafan terhadap kreativiti peserta.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.