Tanah runtuh di Kampung Bukit Sungai Putih, penghuni diarah keluar rumah

8 Mei 2026, 1:52 PM
Tanah runtuh di Kampung Bukit Sungai Putih, penghuni diarah keluar rumah

SHAH ALAM, 8 MEI: Insiden tanah runtuh dilaporkan berlaku di Kampung Bukit Sungai Putih, Hulu Langat dengan jarak runtuhan kira-kira empat kaki dari kawasan rumah petang tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 2.17 petang.

“Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ampang telah digerakkan ke lokasi kejadian dengan kekuatan enam anggota bersama satu jentera Light Fire Rescue Tender (LFRT), yang tiba beberapa minit selepas panggilan diterima.

Komander operasi melaporkan sebaik tiba di lokasi, berlaku runtuhan tanah berhampiran rumah penduduk dan semua penghuni telah diarahkan keluar sebagai langkah keselamatan awal,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Ahmad Mukhlis, pasukan bomba seterusnya menjalankan pemantauan di sekitar kawasan kejadian bagi memastikan tiada lagi risiko bahaya yang boleh mengancam keselamatan penduduk setempat.

Operasi pemantauan diteruskan sehingga kawasan disahkan selamat dan terkawal selain kejadian berkenaan telah dimaklumkan kepada pihak berkuasa tempatan untuk tindakan susulan serta langkah mitigasi lanjut.

Ahmad Mukhlis turut memaklumkan bahawa tiada sebarang mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian berkenaan dan keadaan setakat ini berada dalam keadaan terkawal tanpa sebarang kecederaan atau kehilangan jiwa.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.