KUANTAN, 8 MEI: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menghulurkan sumbangan kepada Aisnaina Sulong yang menetap di Balok di sini.
Sumbangan dan kotak makanan disampaikan Setiausaha Politik Perdana Menteri Datuk Ahmad Farhan Fauzi pada program Ziarah MADANI Indera Mahkota dengan bantuan itu diharapkan dapat melegakan beban keluarga wanita itu.
“Tersentuh hati mendengar kisah beliau yang menjaga dua cucu, lebih-lebih lagi apabila mendapat tahu seorang lagi cucunya telah terkorban akibat kemalangan baru-baru ini. Suasana pilu itu pastinya amat berat untuk ditanggung oleh sebuah keluarga.
“Beliau (Aisnaina) turut memohon agar dapat dipertimbangkan pembinaan bonggol di jalan hadapan rumah kerana kawasan itu sering berlaku kemalangan dan membahayakan penduduk setempat,” kata Ahmad Farhan menerusi hantaran Facebook hari ini.
Ahmad Farhan turut mendoakan Aisnaina dan keluarga terus diberikan kekuatan, ketabahan serta dipermudah segala urusan.








