SHAH ALAM, 8 MEI: Sebatang pokok tumbang menghempap sebuah kenderaan di Batu 10, berhadapan Orkid The Villa, Selayang dalam kejadian tengah hari tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 1.33 tengah hari.
Menurutnya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Baru Selayang ke lokasi kejadian kira-kira 23 minit kemudian dengan satu jentera Fire Rescue Tender (FRT) bersama beberapa anggota bagi menjalankan operasi pembersihan.
“Komander operasi melaporkan sebaik tiba di lokasi, didapati sebatang pokok telah tumbang dan menghempap sebuah kenderaan yang berada di laluan jalan.
Bagaimanapun, mangsa berjaya keluar dari kenderaan sebelum ketibaan pasukan bomba dan kejadian tidak melibatkan sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ahmad Mukhlis berkata pasukan bomba kemudiannya menjalankan kerja-kerja pemotongan dan pengalihan pokok menggunakan gergaji rantai bagi membuka laluan serta menghapuskan halangan di lokasi kejadian.
Operasi turut dibantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Pasukan Bomba Sukarela (PBS) bagi mengawal keadaan dan memastikan kelancaran lalu lintas di kawasan terbabit.
Ahmad Mukhlis berkata anggota turut melakukan pemeriksaan menyeluruh di sekitar lokasi bagi memastikan tiada lagi risiko bahaya yang boleh mengancam keselamatan orang awam.
Operasi tamat sepenuhnya pada jam 2.40 petang selepas kawasan disahkan selamat, sebelum semua anggota dan jentera kembali ke balai.
Beliau turut menasihatkan orang awam supaya lebih berwaspada ketika melalui kawasan berpokok besar terutama dalam keadaan cuaca tidak menentu bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.









