BANGI, 8 MEI: Golongan agamawan sekitar Kuala Lumpur teruja apabila julung kali berpeluang melakukan ujian saringan pita suara pada Hari Suara Sedunia Sempena Muzakarah Pemegang Tauliah 2026 di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), semalam.
Penasihat syariah, Harith Badrul Hisham, 31, berkata beliau julung kali melakukan ujian berkenaan selain mengakui tidak pernah ambil berat mengenai fungsi dan keadaan kotak suaranya sendiri.
“Saya tidak pernah tahu kewujudan ujian saringan kotak suara. Pemeriksaan yang dilaksanakan juga sangat mendalam. Saya perlu azan ketika ujian tersebut dan mereka maklumkan bagaimana kotak suara saya berinteraksi.
“Harap ramai yang dapat periksa kotak suara selepas ini kerana ia membantu bagaimana mahu tambah baik kotak suara kita. Kita akan tahu apa kekurangan dan kalau ada sakit boleh dapatkan rawatan awal,” katanya.
Penceramah agama, Muhammad Ikram Shah Zulkarnain, 27, berkata beliau mengambil peluang melakukan pemeriksaan pita suara kerana ia dilaksanakan secara percuma berbanding kadar bayaran tinggi yang dikenakan di premis kesihatan.
Menurutnya, penjagaan peti suara amat penting berikutan organ tersebut merupakan punca rezeki dirinya selain berazam mahu terus berdakwah kepada masyarakat.
“Saringan ini sangat penting untuk kita lihat keadaan peti suara kita, terutamanya sebagai pendakwah kerana ia merupakan aset kepada diri kita,” katanya.
Bagi penceramah bebas, Muhammad Afiq Nor Husaini, 22, beliau mengakui tidak pernah ambil tahu mengenai kepentingan untuk melakukan ujian saringan kotak suara.
Beliau turut berharap program seumpama ini dapat diperluaskan kepada orang awam sekali gus mendidik masyarakat serta meningkatkan kesedaran penjagaan peti suara.
“Saya harap saringan ini boleh diperluas lagi kepada masyarakat. Orang lain pun boleh juga lakukan saringan kerana saya rasa kebanyakan orang awam tidak tahu mengenai kepentingannya,” katanya.
Majlis Hari Suara Sedunia Sempena Muzakarah Pemegang Tauliah 2026 dihadiri oleh Mufti Wilayah Persekutuan, Ustaz Ahmad Fauwaz Fadzil dan dirasmikan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat UKM, Prof Dr Bariah Mohd Ali.
Program yang diadakan dengan kerjasama Jabatan Mufti Wilayah Persekutan itu disertai seramai 130 peserta yang terdiri daripada penceramah bebas, bilal, imam serta guru agama di sekitar Kuala Lumpur.










