SYDNEY, 8 MEI: Mahasiswa Selangor di Australia yang mengikuti program pensijilan kecerdasan buatan (AI) kendalian Pusat Kemahiran Teknikal Selangor (STDC) bakal ditawarkan kursus lanjutan bagi meningkatkan kebolehpasaran.
Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata, tawaran itu diberi sebaik sahaja mahasiswa terlibat kembali ke Malaysia, sebagai kemahiran tambahan berbeza daripada kursus asal pengajian.
“Bagi meneruskan kesinambungan peranan Kerajaan Negeri dalam membangun kebolehpasaran mahasiswa, satu kursus jangka pendek dilaksanakan oleh STDC tahun ini.
“Program pensijilan daripada Google diyakini memberi pendedahan awal kepada mahasiswa tentang kepentingan AI bagi kegunaan harian. Saya akan pastikan yang terlibat akan ditawarkan (kursus lanjutan),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Konvensyen Mahasiswa Selangor Luar Negara Australia (KOMSEL) 2026 melalui rakaman yang disiarkan pada majlis di ParkRoyal Darling Harbour di sini malam ini.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif STDC, Dr Harizal Hamid berkata program intensif selama tiga hari direka untuk membantu pelajar daripada ‘Kesedaran AI’ kepada ‘Pelaksanaan AI’.
Beliau menjelaskan inisiatif itu termasuk pendedahan kepada penggunaan Gemini, Vertex AI, pembangunan dokumen enjin carian, aplikasi multimodal serta pengurusan keselamatan AI secara bertanggungjawab.
“Melalui inisiatif ini, STDC turut menekankan aspek pembangunan bakat masa depan, kedaulatan AI, kecekapan kos teknologi serta penggunaan AI secara selamat dan beretika.
“Pengelolaan STDC dalam platform antarabangsa ini mencerminkan komitmen berterusan dalam melahirkan generasi inovator muda yang mampu memacu transformasi digital Selangor,” katanya menerusi kenyataan.








