SHAH ALAM, 7 MEI: Seorang pelajar tingkatan empat maut, manakala seorang pelajar tingkatan tiga pula parah dipercayai terkena renjatan elektrik ketika hendak mengambil wuduk dalam kejadian di sebuah sekolah di Daro, Bahagian Mukah, Sibu, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Matu Daro, Deputi Superintendan Rahim Mihos, berkata pihaknya menerima maklumat kejadian dari pihak sekolah kira-kira jam 8 malam.
“Kejadian dilaporkan berlaku ketika tiga pelajar lelaki berada di kawasan mengambil wuduk. Mangsa berusia 16 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan.
"Seorang lagi mangsa berusia 15 tahun yang juga pelajar Tingkatan Tiga pula mengalami kecederaan parah dan dikejarkan ke Hospital Daro sebelum dirujuk ke Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Sibu, untuk rawatan lanjut," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Rahim berkata, seorang lagi pelajar lelaki berusia 15 tahun yang turut berada di lokasi kejadian bagaimanapun dilaporkan tiada mengalami sebarang kecederaan.
Susulan itu, beliau berkata, pihak Sarawak Energy telah dimaklum supaya memutuskan bekalan elektrik bagi memastikan keadaan di lokasi kejadian adalah selamat.
Katanya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Daro untuk tindakan lanjut, dan kes masih dalam siasatan.








