Umat Islam dipelawa imarah Quranic Madani di Bukit Bintang esok

7 Mei 2026, 1:35 PM
Umat Islam dipelawa imarah Quranic Madani di Bukit Bintang esok

BANGI, 7 MEI: Umat Islam di seluruh negara dipelawa mengimarahkan program Quranic Madani: Night Reset – Bersatu Dalam Saf yang dijadual berlangsung di Bukit Bintang, Kuala Lumpur, esok.

Mufti Wilayah Persekutuan, Ustaz Ahmad Fauwaz Fadzil berkata program berkenaan merupakan acara kerohanian yang mengajak umat Islam bermunajat serta memohon keampunan kepada Allah.

Mufti Wilayah Persekutuan Ahmad Fauwaz Fadzil menyampaikan ucapan pada Hari Suara Sedunia sempena Muzakarah Pemegang Tauliah 2026 kepada peserta di Dewan Sarjana , Fakulti Pengajian Islam UKM Bangi pada 7 Mei 2026. Foto HARUN TAJUDIN / MEDIA SELANGOR

“Saya akan sertai esok, saya harap semua dapat turun esok. Datang solat hajat supaya tiada lagi jangkitan atau 'bakteria-bakteria’ di situ.

“Bagus (warganet anggap sebagai pembersihan). Setiap hidup kita perlu ada 'rectify' (pembetulan). Kehidupan kita ini bercampur-campur dan akhirnya kebenaran akan mengatasinya,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Hari Suara Sedunia Sempena Muzakarah Pemegang Tauliah 2026 di Universiti Kebangsaan Malaysia, di sini hari ini.

Sebelum ini, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan memaklumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka hadir memeriahkan program berkenaan yang dianjurkan agensi terbabit.

Program yang berlangsung dari jam 8 hingga 11 malam di Jalan Bukit Bintang itu turut dijangka dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Zulkifli Hasan serta Nurul Izzah Anwar.

Antara pengisian program ialah solat Isyak berjemaah, solat hajat, bacaan surah Al-Mulk serta tazkirah agama oleh Ustaz Farkhan Da’ie, Maulana Khairi dan Ustaz Haris Ismail.

Dalam pada itu, Ahmad Fauwaz turut menggalakkan lebih ramai ilmuwan dan pakar berkongsi ilmu berkaitan fiqh moden dan muamalat, khususnya di masjid.

Beliau berkata ketika ini kurang lima peratus tenaga pengajar di Wilayah Persekutuan mampu menyampaikan ilmu berkenaan kepada masyarakat, sekali gus menimbulkan kebimbangan.

“Kita mahu ada satu gerakan untuk memberi ilmu yang mendalam. Kita tidak mahu ilmu yang berulang. Misalnya ilmu tayamum yang sudah kita belajar di sekolah, adakah kita mahu ulang belajar sekali lagi di masjid.

“Apabila kita cerdikkan masyarakat, jenayah berkurang, keamanan meningkat dan tahap kesihatan pun meningkat,” katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.