SHAH ALAM, 7 MEI: Kerajaan Selangor mempergiat usaha meningkatkan kesedaran awam mengenai pendermaan organ melalui pendekatan pendidikan komuniti, penglibatan institusi pengajian tinggi (IPT) serta penggunaan aplikasi MySejahtera, susulan jurang ketara antara pesakit yang menunggu dan penderma.
EXCO Kesihatan Awam Jamaliah Jamaluddin berkata inisiatif itu dilaksanakan menerusi Kempen Kesedaran Pendermaan Organ Negeri Selangor dengan kerjasama Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan Malaysia (NKF).

Menurutnya, data semasa menunjukkan ribuan pesakit masih menunggu harapan baharu untuk meneruskan kehidupan, sedangkan jumlah penderma masih rendah.
“Saya sentiasa melihat data yang menunjukkan jurang besar antara jumlah pesakit yang menanti pendermaan organ dengan jumlah penderma sebenar. Di Malaysia, terdapat 10,268 orang pesakit yang sedang menunggu pendermaan organ,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penghargaan Penderma dan Waris Penderma Organ Peringkat Negeri Selangor 2026 di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini hari ini.

Jamaliah berkata usaha kesedaran turut diperluaskan melalui program Selangor Saring, termasuk pameran, edaran bahan penerangan serta pendaftaran pengikrar penderma organ menerusi MySejahtera.
Pada masa sama, peranan belia turut diperkasakan melalui pelantikan pelajar universiti sebagai duta kempen bagi membantu menyebarkan maklumat kepada masyarakat dengan lebih meluas.
“Matlamat kita jelas, iaitu untuk membina ekosistem kebajikan yang holistik, di mana pendermaan organ menjadi satu norma dalam masyarakat. Tema ‘Warisku, Hormati Ikrarku’ merupakan satu seruan kepada kebertanggungjawaban kolektif,” katanya.
Beliau berkata pada tahun lalu seramai 15,039 individu menjadi pengikrar penderma organ di seluruh negara termasuk 3,888 orang dari Selangor.

Jamaliah turut menegaskan bahawa aspek agama dan budaya diberi penekanan dalam kempen tersebut, termasuk penjelasan bahawa pendermaan organ adalah harus dan digalakkan dalam Islam bagi mengurangkan stigma masyarakat.
“Penanda aras kemajuan kita tidak seharusnya bersandarkan indikator ekonomi semata-mata, sebaliknya perlu diukur melalui sikap suka menolong, keprihatinan, serta semangat tidak mementingkan diri dalam kalangan rakyatnya,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menekankan kepentingan perbincangan awal dalam keluarga bagi memastikan hasrat penderma dapat dilaksanakan tanpa halangan pada saat kritikal.
“Meskipun statistik menunjukkan peningkatan pendaftaran ikrar melalui MySejahtera, keberkesanan ikrar tersebut sering kali teruji pada saat-saat kritikal akibat ketiadaan komunikasi awal bersama keluarga.
“Justeru, saya menyarankan pentingnya untuk kita menormalisasikan wacana pendermaan organ dalam institusi keluarga,” katanya.








