Selangor perkasa taman awam, program komuniti sokong gaya hidup sihat warga emas

7 Mei 2026, 10:00 AM
Selangor perkasa taman awam, program komuniti sokong gaya hidup sihat warga emas
Selangor perkasa taman awam, program komuniti sokong gaya hidup sihat warga emas
Selangor perkasa taman awam, program komuniti sokong gaya hidup sihat warga emas
Selangor perkasa taman awam, program komuniti sokong gaya hidup sihat warga emas

SHAH ALAM, 7 MEI: Kerajaan Selangor terus memperkukuh agenda kesejahteraan rakyat menerusi peluasan program senaman komuniti berimpak rendah serta penaiktarafan taman awam bagi menyokong gaya hidup sihat, khususnya dalam kalangan warga emas.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pendekatan itu semakin penting susulan peningkatan populasi warga emas serta cabaran kesihatan berkaitan penuaan yang semakin ketara di negara ini.

Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIA SELANGOR

Menurutnya, aktiviti seperti qigong, tai chi dan aerobik ringan kini diperluaskan secara aktif menerusi kerjasama antara pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pertubuhan komuniti.

Katanya, program berkenaan bukan sahaja membantu meningkatkan kesihatan fizikal dan mental, malah berperanan mengurangkan pengasingan sosial dalam kalangan warga emas.

“Program senaman berimpak rendah yang ditawarkan PBT merupakan pendekatan baik untuk meningkatkan kesihatan awam selain menyediakan intervensi bukan farmaseutikal terhadap isu kesihatan berkaitan penuaan.

“Aktiviti seperti qigong, tai chi dan aerobik ringan kini turut diintegrasikan dalam perancangan bandar dan inisiatif kesihatan awam bagi menyokong masyarakat menua,” katanya seperti dilapor The Star.

Tan Chin Seong, 36, (dua, kanan) bersama rakan Tionghua lain menjadikan permainan wau tradisional yang terkenal dalam kalangan orang Melayu sebagai hobi ketika melakukan aktiviti beriadah hampir setiap petang di Taman Rekreasi Sungai Chua, Kajang, Selangor. Foto BERNAMA

Dalam pada itu, Amirudin berkata Kerajaan Negeri turut bekerjasama rapat dengan Kerajaan Persekutuan bagi mempertingkat kualiti ruang rekreasi di seluruh Selangor.

“Menjelang pertengahan tahun ini, sekurang-kurangnya satu taman awam di setiap PBT akan selesai dinaik taraf dengan kemudahan lebih baik untuk golongan muda dan warga emas,” katanya.

Beliau berkata dapatan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi oleh Kementerian Kesihatan menunjukkan peningkatan membimbangkan dalam kalangan warga emas, termasuk peningkatan individu yang tinggal bersendirian.

“Pada 2018, jumlah individu berusia lebih 60 tahun yang tinggal bersendirian ialah 6.3 peratus daripada populasi negara. Namun pada 2025, angka itu meningkat hampir tiga kali ganda,” katanya.

Dato' Menteri Besar, Dato' Seri Amirudin Shari beramah mesra bersama warga emas selepas merasmikan Majlis perasmian Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Sungai Tua di Kampung Wira Damai, Gombak pada 1 September 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR

Selain itu, beliau berkata tiga daripada 10 warga emas dikenal pasti tidak aktif secara fizikal, manakala hanya 14.7 peratus dikategorikan sebagai menua secara sihat.

Amirudin berkata peningkatan jangka hayat rakyat turut menuntut perhatian lebih menyeluruh terhadap aspek kesihatan dan kesejahteraan komuniti.

“Di Selangor, rakyat dijangka hidup sehingga hampir 80 tahun, iaitu kira-kira 20 tahun selepas umur persaraan semasa,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menggalakkan warga emas memanfaatkan kemudahan rekreasi awam yang disediakan, selain menyeru golongan muda turut serta dalam program senaman komuniti bagi mengurus tekanan dan mengamalkan gaya hidup sihat.

Data Jabatan Perangkaan Malaysia tahun lalu menunjukkan seramai 908,400 daripada 7.4 juta penduduk Selangor terdiri daripada warga emas.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.