SHAH ALAM, 7 MEI: Seramai 300 pelajar cemerlang bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dari peringkat diploma hingga pascasiswazah bakal menyertai program ASEMxChampionChip eXperience bagi melahirkan bakat tempatan dalam reka bentuk litar bersepadu (IC).
EXCO Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Ng Sze Han berkata inisiatif itu dijangka memperkukuh peranan Selangor dalam ekosistem semikonduktor global.
Menurutnya, program yang dilaksanakan syarikat teknologi maju swasta Brazil, Von Braun Labs dengan kerjasama Advanced Semiconductor Academy of Malaysia (ASEM) itu mencerminkan komitmen negeri dalam membina saluran bakat tempatan industri semikonduktor susulan peningkatan permintaan global terhadap tenaga kerja mahir.

“Program ini akan menyediakan latihan intensif secara praktikal bermula dengan asas logik digital sebelum beralih kepada reka bentuk register-transfer level (RTL).
“Dengan sokongan platform automasi reka bentuk elektronik (EDA) berasaskan awan sepenuhnya milik ChipInventor, iaitu anak syarikat Von Braun Labs, peserta turut akan menjalani pengesahan pada peringkat perkakasan menggunakan teknologi AWS FPGA (field-programmable gate array) bagi memastikan mereka bersedia memasuki industri.
“Cabaran utama industri semikonduktor ketika ini bukan lagi berkaitan silikon atau kuasa pengkomputeran semata-mata, tetapi kekurangan modal insan kritikal,” katanya ketika melancarkan program ASEMxChampionChip eXperience di Pusat Dagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC), hari ini.
Menurut Instagram ASEM, program itu dirangka bagi memberi pendedahan praktikal kepada pelajar universiti dalam bidang mikroelektronik dan reka bentuk sistem digital, sekali gus melahirkan generasi baharu bakat semikonduktor negara.

Ng berkata sesi pembentangan akhir program akan berlangsung sempena Sidang Kemuncak AI dan Semikonduktor Selangor 2026 yang diadakan bersama Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2026 pada Oktober depan.
“Pelajar yang menyertai program ini akan membentangkan inovasi reka bentuk cip mereka secara terus kepada pemimpin industri dan pelabur global semasa sidang kemuncak itu.
“Masa depan industri semikonduktor global perlu dibina menerusi kerjasama antarabangsa, perkongsian kepakaran dan kolaborasi rentas sempadan yang lebih kukuh,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kedutaan Brazil dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Brazil atas sokongan terhadap inisiatif berkenaan, sambil menyifatkan kerjasama itu sebagai bukti kemajuan teknologi memerlukan usaha kolektif serta perkongsian ilmu.








