Setiap hari, Nur Hanariawati Mohd Najib memulakan rutin membersihkan najis, memberi makan dan memeriksa keadaan puluhan kucing kurang upaya yang bergantung sepenuhnya kepada penjagaan manusia.
Bagi kebanyakan orang, menjaga kucing jalanan sudah cukup mencabar. Namun, wanita berusia 45 tahun ini tekad memilih untuk menjaga kucing yang sering dipinggirkan kerana kekurangan fizikal.
Di sebuah premis sederhana, Nur Hanariawati atau mesra disapa Waty bersama suaminya Baharim Abu Bakar, 48, menjaga 31 ekor kucing kurang upaya termasuk sembilan yang masih kecil.
Semuanya bermula sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kedua. Ketika ramai bergelut dengan kehidupan sendiri, mereka pula membuka ruang untuk makhluk yang tidak berdaya.
Usaha tersebut dimulakan tanpa bantuan tetap. Pasangan ini menanggung sendiri keperluan kucing-kucing berkenaan dengan menjaga mereka di rumah, sebelum berpindah ke ruang yang lebih selesa.
"Lokasi yang dipilih tidak boleh terlalu sesak seperti premis tingkat atas. Selain itu, perlu mempunyai sistem paip yang memudahkan urusan penjagaan kucing dan tempat itu perlulah menjadi sebahagian rumah kedua buat saya," kata Waty.

Rutin mereka panjang dan melelahkan. Jika tiada urusan veterinar, Waty akan berada di premis seawal jam 10 pagi dan hanya pulang sekitar jam dua atau tiga pagi.
Walaupun pulang, pemantauan tetap dilakukan melalui kamera litar tertutup.
Segalanya dipelajari dari bawah. Waty dibimbing sepenuhnya doktor veterinar dengan rutin yang memerlukan kesabaran tinggi termasuk membantu mengeluarkan najis haiwan itu.
Kos tinggi
Tidak dinafikan, tersembunyi beban kewangan yang besar. Penjagaan kucing kurang upaya memerlukan penjagaan rapi serta rawatan berterusan, menjadikan kos jauh lebih tinggi berbanding kucing biasa.
Perbelanjaan mingguan boleh mencecah antara RM1,200 hingga RM1,400, belum termasuk kos rawatan veterinar yang boleh meningkat sehingga RM5,000 bagi kes tertentu.
“Sepanjang empat tahun menjaga kucing-kucing ini, saya jarang meminta bantuan bagi keperluan harian. Saya hanya memohon bantuan apabila ada yang perlu dimasukkan ke wad atau menjalani pembedahan yang memerlukan rawatan di klinik veterinar dalam tempoh yang lama,” jelas Waty.
Suaminya pula mengambil inisiatif bekerja sendiri dengan menawarkan perkhidmatan menjaga kucing di rumah pelanggan bagi menampung perbelanjaan haiwan kurang bernasib baik itu.
Abai kecaman
Dalam usaha membantu kucing kurang upaya, pasangan ini tidak terlepas daripada kecaman segelintir pihak yang mempertikaikan tindakan mereka, termasuk memberi tanggapan tidak tepat.
Namun bagi Waty, keikhlasan menjadi pegangan utama. Segala yang dilakukan bukan untuk simpati atau keuntungan, tetapi atas rasa tanggungjawab terhadap makhluk yang tidak mampu bersuara.
“Berilah peluang kepada kucing jalanan di luar sana, sama-sama kita naikkan martabat haiwan itu. Janganlah memandang mereka dengan pandangan jijik,” katanya.
Bagi beliau, setiap kucing yang dijaga mempunyai nilai dan hak untuk hidup, walaupun dalam keadaan serba kekurangan.
Kehidupan pasangan ini juga berubah sepenuhnya. Tiada lagi percutian panjang atau pulang ke kampung seperti dahulu kerana sukar untuk meninggalkan kucing-kucing tersebut walaupun seketika.
“Selama empat tahun, hidup saya hanya tertumpu kepada penjagaan mereka. Jika ingin ke mana-mana, saya tidak tenang untuk meninggalkan mereka.
“Harapan saya sama seperti pencinta haiwan lain. Jangan menganiaya haiwan sama ada kucing atau anjing. Jika tidak suka, beredar sahaja. Jangan simpan niat untuk menyakiti mereka kerana kita semua berkongsi bumi yang sama,” luah Waty.





















