Makanan jadi tarikan pelancong, perhebat promosi gastronomi

8 Mei 2026, 4:00 AM
Makanan jadi tarikan pelancong, perhebat promosi gastronomi

SHAH ALAM, 8 MEI: Selangor terus memperkukuh kedudukannya sebagai destinasi pelancongan gastronomi dengan menjadikan makanan sebagai tarikan utama dalam kempen pelancongan negeri.

Ketua pegawai eksekutif Tourism Selangor berkata pihaknya turut bekerjasama dengan Plats Selangor (PLATS) serta agensi kerajaan bagi memperluas promosi makanan tempatan kepada pelancong domestik dan antarabangsa.

Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Selangor, Chua Yee Ling.

“Pelancongan gastronomi antara fokus utama kita kerana kebanyakan pelancong yang datang ke sesuatu destinasi pasti ingin mencuba makanan tempatan.

“Malah, makanan sering menjadi ‘highlight’ (tumpuan) dalam perancangan sesuatu perjalanan,” kata Chua Yee Ling kepada Media Selangor.

Menurutnya, Tourism Selangor turut memperkenal pakej ‘food trail’ dengan menerbitkan risalah Signature Selangor merangkumi senarai restoran serta kafe di sembilan daerah negeri ini.

Yee Ling berkata direktori itu disediakan dalam bentuk fizikal dan digital bagi memudahkan pelancong merancang itinerari perjalanan mereka berdasarkan cadangan lokasi makanan yang disyorkan.

Beliau berkata perkembangan media sosial turut memainkan peranan penting dalam mempromosikan pelancongan makanan apabila kandungan berkaitannya mudah menarik perhatian dan menjadi tular.

“Jika kita lihat di media sosial seperti Instagram, Facebook dan TikTok, kandungan berkaitan makanan antara yang paling mudah mendapat perhatian, sekali gus membantu mempromosikan Selangor sebagai destinasi makanan,” katanya.

Yee Ling juga menggalakkan lebih banyak penganjuran festival makanan dengan kerjasama penganjur luar serta menyediakan geran antara RM5,000 hingga RM10,000 bagi menyokong inisiatif berkenaan.

Selain memperbanyakkan acara berkaitan gastronomi, jelasnya, ia turut membantu merancakkan ekonomi tempatan termasuk sektor perniagaan kecil, penginapan dan destinasi pelancongan lain.

“Usaha ini juga selari trend pelancongan masa kini yang lebih tertumpu kepada percutian singkat, di mana Selangor mempunyai kelebihan dari segi lokasi dan kepelbagaian makanan,” katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.