SHAH ALAM, 7 MEI: Penggunaan teknologi pintar dan pemasangan ciri keselamatan pada longkang dikenal pasti antara langkah penting untuk mencegah kejadian kanak-kanak lemas akibat terjatuh ke dalam saliran terbuka.
Pakar berkata aspek keselamatan awam perlu diberi perhatian lebih serius memandangkan kebanyakan sistem saliran ketika ini dibina dengan fokus utama kepada pengurusan aliran air dan banjir kilat.
Pensyarah Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam Universiti Teknologi MARA (UiTM), Prof Wardah Tahir berkata keutamaan perlu diberikan kepada usaha mengenal pasti longkang berisiko tinggi terutama berhampiran kawasan perumahan, sekolah dan tempat awam.
Menurutnya, longkang berbahaya khususnya yang dalam, berarus deras atau mempunyai bukaan besar perlu dilengkapi ciri-ciri perlindungan seperti penutup, jeriji besi, penghadang serta papan tanda amaran selain laluan pejalan kaki yang lebih selamat.
“Reka bentuk longkang tidak seharusnya hanya tertumpu kepada kapasiti aliran air semata-mata, tetapi perlu memasukkan ciri keselamatan kanak-kanak sebagai syarat standard,” katanya kepada Media Selangor.
Wardah berkata sistem saliran di bandar perlu berkembang dengan menyeimbangkan dua fungsi utama iaitu mengalirkan air hujan secara cekap dan melindungi keselamatan orang awam.
Katanya, antara langkah boleh dipertimbang ialah membina longkang bertutup di kawasan berisiko tinggi selain menggunakan elemen mampan seperti kolam takungan dan permukaan telap air.
Beliau turut menyokong pelaksanaan audit keselamatan peringkat nasional bagi mengenal pasti dan menyusun keutamaan lokasi berbahaya supaya tindakan dapat diambil berdasarkan tahap risiko.
Pada 4 Mei lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan Kerajaan Negeri akan menggerakkan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk menyemak dan menyiasat semua longkang berisiko tinggi di Selangor susulan dua kejadian lemas melibatkan kanak-kanak.

Satu kes melibatkan kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun di Bandar Puncak Alam, Kuala Selangor, manakala satu lagi melibatkan Nur Qaseh Deandra Mohd Qayyum, 9, di Bandar Mahkota Cheras.
Kedua-duanya dipercayai lemas selepas terjatuh ke dalam longkang.
Langkah pelbagai pendekatan
Sementara itu, pensyarah kanan Fakulti Kejuruteraan Awam UiTM, Suzana Ramli mencadangkan pemasangan pagar anti-panjat pada longkang besar dan dalam sebagai langkah lebih praktikal serta menjimatkan kos berbanding menutup keseluruhan struktur.
Beliau berkata langkah keselamatan fizikal juga perlu digabungkan dengan sistem pemantauan pintar seperti sensor air berasaskan Internet Kebendaan (IoT), siren automatik, kamera litar tertutup (CCTV) dan amaran masa nyata kepada komuniti berhampiran.
“Langkah jangka pendek perlu memberi fokus kepada mengehadkan akses dan mengurangkan risiko mangsa dihanyutkan arus, berbanding melakukan pengubahsuaian struktur yang memerlukan kos tinggi,” katanya.
Suzana turut mencadangkan penggunaan pagar modular, jeriji keselamatan di pembentung (culvert) serta jaring keselamatan di lokasi strategik seperti selekoh, jambatan dan saluran keluar air.

Pensyarah Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Madya Mohamad Fared Murshed pula berkata aspek keselamatan bagi sistem longkang monsun perlu diperkukuh terutama di kawasan perumahan dan awam kerana reka bentuknya menyebabkan aliran air bergerak deras.
Menurutnya, cadangan menutup sepenuhnya semua longkang mungkin tidak sesuai kerana boleh menyebabkan saluran tersumbat dan meningkatkan risiko banjir jika tidak direka dengan baik.
“Saya mencadangkan pendekatan berdasarkan tahap risiko yang mengimbangi prestasi saliran dengan keselamatan pengguna,” katanya.
Beliau turut mencadangkan penggunaan sistem saliran bandar mampan seperti kolam takungan, bioswale, sistem penapisan dan infrastruktur hijau bagi mengurangkan kelajuan aliran air serta kebergantungan terhadap longkang terbuka bersaiz besar.
Mohamad Fared juga menyokong audit keselamatan nasional dengan memberi fokus kepada kawasan berisiko tinggi berdasarkan faktor seperti kedalaman longkang, kelajuan aliran air, aksesibiliti, rekod kejadian serta lokasi berhampiran sekolah dan kawasan kediaman.
Katanya, langkah jangka pendek yang lebih murah dan praktikal termasuk pemasangan papan tanda amaran, pagar keselamatan, pencahayaan lebih baik, penyelenggaraan berkala, pemetaan kawasan panas dan rondaan ketika hujan lebat selain kempen kesedaran awam.
Ketiga-tiga pakar bersetuju usaha mencegah kejadian lemas memerlukan kerjasama pelbagai pihak termasuk kerajaan, jurutera, perancang bandar, komuniti dan ibu bapa melalui gabungan infrastruktur lebih selamat, teknologi pintar serta pengurusan risiko yang proaktif.









