SHAH ALAM, 7 MEI: Atlet Selangor kekal fokus menjalani latihan menjelang SUKMA 2026 Ogos ini walaupun temasya itu dilaksanakan secara berhemah.
Ketua Kontinjen Abbas Azmi berkata persiapan atlet berada pada tahap memuaskan dengan komitmen tinggi untuk membawa kejayaan kepada negeri.
“Buat masa ini, mereka jalani latihan seperti biasa dan tidak terkesan dengan pengurangan peruntukan.
“Malah, jika dilihat, latihan mereka amat memuaskan bahkan semua bersedia untuk beri yang terbaik kepada kontinjen Selangor,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program kunjungan bertemu atlet Selangor di Pusat Kecemerlangan Sukan di sini.
Menerusi kunjungan itu, Abbas meluangkan masa lebih sejam bertemu atlet Selangor bagi sukan silambam, tinju, karate dan pencak silat.
Mengulas lanjut, Abbas memaklumkan semua nama atlet yang akan menyertai SUKMA Selangor akan dimuktamad menjelang Julai nanti.
“Ada yang sudah mempunyai senarai, begitu juga sebaliknya. Mereka perlu muktamadkan selewat-lewatnya pada Jun,” katanya.
Sebelum ini, EXCO Sukan Mohd Najwan Halimi memaklumkan kos penganjuran SUKMA Selangor 2026 dikurangkan hampir 50 peratus daripada peruntukan asal RM100 juta.
Pendekatan itu selaras usaha mengawal perbelanjaan tanpa menjejaskan fokus utama iaitu pembangunan atlet dan pencarian bakat baharu selari dengan titah Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.
Pada 20 April lalu, Sultan Sharafuddin mencadangkan agar penganjuran temasya itu ditangguhkan sehingga krisis di Asia Barat selesai dan Stadium Shah Alam siap sepenuhnya.
Baginda bertitah cadangan itu dibuat mengambil kira kos tinggi penganjuran temasya dwitahunan berkenaan dalam keadaan ekonomi semasa.
SUKMA kali ke-22 berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos depan manakala Para SUKMA pula dari 5 hingga 10 September.
Sebanyak 474 acara daripada 37 jenis sukan dipertandingkan di sembilan daerah membabitkan 52 venue pertandingan, manakala Para SUKMA membabitkan 10 jenis sukan dan 316 acara yang dipertandingkan di daerah Petaling dan Klang.










