SHAH ALAM, 6 MEI: Remaja lelaki berusia 15 tahun ditahan polis selepas dipercayai menghantar mesej serta gambar lucah kepada seorang pelajar perempuan melalui aplikasi TikTok.
Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, suspek ditahan di tepi Jalan Melati Off Jalan Kuhara kira-kira jam 1.10 tengah hari hasil operasi Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau.
Menurutnya, tangkapan dibuat susulan laporan mangsa berusia 13 tahun yang mendakwa menerima mesej berunsur lucah daripada suspek.
“Kejadian berlaku jam 7 malam, 29 April lalu ketika mangsa berada di sebuah restoran makanan segera di Jalan Apas sebelum dihubungi suspek.
“Suspek menghantar mesej tidak senonoh dan turut mengirim gambar lucah sehingga menimbulkan ketakutan terhadap keselamatan mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Berita Harian.
Beliau berkata, polis turut merampas sebuah telefon bimbit yang dipercayai digunakan dalam kejadian berkenaan.
Kes disiasat mengikut Akta Kesalahan Seksual Kanak-Kanak 2017 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Jasmin menegaskan pihak polis tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk jenayah seksual termasuk yang dilakukan melalui media sosial dan tindakan tegas akan diambil terhadap pelaku.
Beliau turut menasihatkan ibu bapa agar sentiasa memantau penggunaan media sosial anak bagi mengelak mereka terdedah kepada jenayah dalam talian.








