SHAH ALAM, 6 MEI: Seorang pengendali rumah kebajikan kanak-kanak tanpa lesen di Gombak sekali lagi dihadapkan ke Mahkamah Sesyen hari ini atas dua pertuduhan melakukan persetubuhan luar tabii terhadap seorang remaja lelaki berusia 15 tahun, tiga tahun lalu.
Pertuduhan terbaharu itu menjadikan lelaki berusia 31 tahun berkenaan kini berdepan keseluruhan 11 pertuduhan dengan empat pertuduhan di Mahkamah Sesyen Ampang sebelum ini membabitkan kesalahan jenayah seksual secara fizikal dan bukan fizikal.
Tertuduh, S Valan, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Suhaila Haron.
“Saya faham pertuduhan dan mengaku tidak bersalah,” katanya seperti dilapor BH.
Tertuduh yang memakai kemeja-T putih dilihat tenang di kandang tertuduh sambil diperhatikan isteri serta ibu bapanya dari galeri awam.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan persetubuhan luar tabii terhadap mangsa di sebuah bilik tidur kondominium di Segambut antara jam 11 malam hingga 2 pagi pada 2 Januari 2023, serta sekali lagi pada jam 2 petang, 22 November tahun sama.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 377B dan Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Md Subri Hashim memohon mahkamah tidak menawarkan jaminan memandangkan kesalahan itu tidak boleh dijamin.
“Namun, jika mahkamah membenarkan jaminan, ia wajar ditetapkan RM20,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan.
“Tertuduh juga perlu menyerahkan pasport, tidak mengganggu saksi dan melaporkan diri ke balai polis setiap bulan sehingga kes selesai.
“Mahkamah perlu mengambil kira mangsa adalah bawah umur ketika kejadian yang diamanahkan kepada tertuduh,” katanya.
Bagaimanapun, peguam Nur Amalia Md Daud memohon jaminan munasabah dengan alasan anak guamnya tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya.
“Ibunya, seorang suri rumah, hadir di mahkamah dan bersedia menjadi penjamin jika dibenarkan. Tertuduh sudah berkahwin, ada seorang anak berusia tiga tahun dan tinggal bersama keluarga di Sentul. Dia tiada risiko melarikan diri.
“Dia juga tidak mempunyai akses kepada mangsa atau rumah kebajikan itu. Jika ada kebimbangan gangguan terhadap saksi, mahkamah boleh mengenakan syarat tambahan,” katanya.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM18,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan serta menetapkan 8 Jun untuk sebutan semula kes.
Mahkamah turut mengarahkan tertuduh tidak mengganggu saksi pendakwaan dan wajib melaporkan diri di balai polis setiap bulan sehingga kes selesai.
Peguam Kirthen Subramaniam dan Nishanthi Loganathan hadir sebagai pemerhati bagi pihak keluarga mangsa serta Pertubuhan Kebangkitan Tiga Tangan Selangor yang mendedahkan dakwaan penderaan berlarutan hampir sedekad di rumah kebajikan tanpa lesen itu.
Dua bekas penghuni berusia 18 tahun tampil membuat laporan mengenai penderaan itu.





