Selangor tumpuan rakyat pelbagai negeri, sesuai bangunkan industri gastronomi

6 Mei 2026, 7:05 AM
Selangor tumpuan rakyat pelbagai negeri, sesuai bangunkan industri gastronomi
Selangor tumpuan rakyat pelbagai negeri, sesuai bangunkan industri gastronomi

HULU LANGAT, 6 MEI: Langkah Kerajaan Negeri memfokuskan industri gastronomi bagi memperkasa ekonomi kreatif berpotensi mengetengahkan makanan tradisi dari pelbagai negeri.

Pensyarah Universiti Utara Malaysia, Prof Madya Dr Hishamudin Isam berkata langkah itu bertepatan dengan kedudukan Selangor sebagai negeri tumpuan migrasi, sekali gus membolehkan penduduk mempromosikan makanan warisan masing-masing.

Selangor ini macam permata Malaysia. Tempat pertemuan ramai orang pelbagai daerah. Jadi negeri ini bukan hanya untuk bangsa Selangor sahaja tapi terbuka kepada orang mana-mana negeri.

“Mereka boleh memperkenalkan makanan tradisi masing-masing di sini. Keadaan ini memberi keistimewaan kepada Selangor kerana pembangunan gastronomi mampu mengetengahkan makanan tradisi tempatan serta dari negeri lain,” katanya kepada Media Selangor.

Beliau merupakan antara panel dalam Seminar Gastronomi Kebangsaan kali ketiga (SEGEMUK III) yang berlangsung di Pusat Konvensyen Bangi Avenue (BACC) di sini hari ini.

Hishamudin berkata usaha itu juga menjadi platform untuk mengangkat semula makanan tradisi yang semakin dilupakan generasi muda.

“Contohnya mewartakan punten sebagai menu tradisi Selangor. Sebenarnya ramai yang tidak mengetahui makanan ini, begitu juga bubur merah putih yang sinonim dengan etnik Jawa.

“Apabila tumpuan diberikan kepada gastronomi, kita dapat memperkenalkannya semula, dalam masa sama membantu peniaga menjana pendapatan melalui penjualan makanan tradisi ini,” katanya.

Tahun lalu, Kerajaan Negeri melancarkan Pelan Tindakan Ekonomi Kreatif Selangor 2025-2035 yang memfokuskan teras multimedia, warisan dan seni budaya, sekali gus menyasarkan sumbangan RM20 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Susulan itu, Ketua Pegawai Eksekutif Selangor Youth Community (SAY), Aiman Syafiq Nazri, berkata industri gastronomi akan dibangunkan di Kuala Selangor.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.